Ahad, 5 April 2020 | 4:52pm
Majlis Keselamatan Negara
Majlis Keselamatan Negara

MKN nafi keluarkan jadual perancangan COVID-19

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) nafi mengeluarkan jadual perancangan COVID-19 seperti yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Menerusi mesej yang ditularkan itu, pihak terbabit mendakwa penularan COVID-19 dijangka pulih sekitar 29 Mei ini dengan syarat orang ramai perlu mematuhi semua perintah larangan dan berdisiplin supaya penularan wabak berkenaan tidak berulang.

Selain itu, pihak tidak bertanggungjawab itu turut menyebarkan satu jadual perancangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merangkumi 4 fasa dengan setiap fasa mengambil masa 14 hari.

Menurut mesej yang tular itu, 14 hari pertama dirujuk sebagai fasa pemantauan, 14 hari seterusnya adalah fasa kedua dikatakan untuk pencegahan, fasa ketiga pemulihan, fasa keempat untuk pembesihan dan fasa terakhir bagi kerja pembebasan dan kemudiannya barulah negara ini boleh diisytiharkan sebagai bebas dari COVID-19.

Pihak berkenaan turut mendakwa jadual yang dikongsi itu diperoleh dari sumber MKN di Putrajaya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan dari Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut menafikan tiga lagi berita palsu yang kini tular di pelbagai media sosial.

Dalam kenyataan berkenaan, pihak Hospital Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) menafikan pernah melantik individu untuk mengurus sumbangan bagi membantu seramai lebih 150 orang petugas barisan hadapan di hospital berkenaan.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka turut menafikan melantik mana-mana pihak untuk memohon sumbangan melalui Kempen “Wakaf Bantal Leyna” bagi tujuan membeli bantal berkenaan untuk diberikan kepada pesakit COVID-19 di Wad Isolasi di Hospital Besar Melaka.

Menerusi kenyataan yang sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan pihaknya pernah menerbitkan sebarang video dan audio bertajuk “Pesanan Buat Pemohon Bantuan Prihatin Nasional.”

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X