Sabtu, 28 March 2020 | 1:43pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - NSTP/Aizuddin Saad
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - NSTP/Aizuddin Saad

PRIHATIN lahirkan usahawan PKS, mikro berdaya saing

ALOR GAJAH: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) mampu melahirkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang berdaya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata menerusi PRIHATIN, golongan berkenaan dapat meneruskan perniagaan meskipun dunia berhadapan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi dan penularan wabak COVID-19.

“Penyediaan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion menerusi lima inisiatif utama yang diumumkan membolehkan usahawan PKS dan mikro terus berdaya maju dalam menghadapi cabaran ekonomi yang serba suram ini.

“Bagi menjayakan PRIHATIN ini, sudah pasti kami memerlukan sokongan kerajaan dan yakin usaha ini akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan Pek Bantuan Makanan kepada penduduk dalam Parlimen Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan langkah kerajaan untuk menyediakan tambahan RM4.5 bilion untuk lima inisiatif utama bagi membantu PKS yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

Ia termasuk Bantuan Kemudahan Khas sebanyak RM3 bilion, Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta serta skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PRIHATIN boleh dianggap sebagai hadiah kerajaan untuk rakyat Malaysia yang pada ketika ini berhadapan saat sukar.

Katanya, banyak inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu bersifat membela nasib rakyat yang jelas membawa maksud bahawa setiap individu akan terus dibantu selagi mereka berstatus rakyat negara ini.

“Dalam kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan, saya yakin dan percaya Perdana Menteri mengumumkan PRIHATIN ini bersandarkan denyut nadi rakyat dan selepas menyelami kesusahan yang sedang dihadapi dari pelbagai sudut.

“Ini dibuktikan melalui pengkisahan keluarga Cik Kiah sebagai sudut kesusahan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Berita Harian X