Khamis, 12 March 2020 | 4:25pm
Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin mengangkat sumpah EXCO Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara hari ini. - Foto BERNAMA
Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin mengangkat sumpah EXCO Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara hari ini. - Foto BERNAMA

ADUN Penanti angkat sumpah sebagai EXCO Pulau Pinang

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, di sini.

Pelantikan Norlela itu bagi mengisi kekosongan jawatan Dr Afif Bahardin yang melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri minggu lalu, menjadikan beliau wanita pertama daripada PKR dilantik sebagai EXCO Pulau Pinang.

Norlela yang ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah itu berkata beliau berterima kasih kepada PKR kerana mencalonkannya dan berjanji akan menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Katanya, beliau sedar jawatan itu sangat mencabar dan antara perkara yang akan menjadi fokusnya adalah isu penularan COVID-19 serta pembangunan dalam pertanian di negeri itu.

Norlela yang menjadi ADUN Penanti sejak 2013 berkata selain itu, beliau juga akan meneruskan usaha dan rancangan baik yang telah dirancang oleh Dr Afif sebelum ini terutamanya usaha menangani masalah bekalan air untuk sawah padi.

Rabu lalu, Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh dan ADUN Seberang jaya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Pulau Pinang, bagaimanapun beliau mengesahkan masih ahli PKR. – BERNAMA

Berita Harian X