Rabu, 11 March 2020 | 5:08pm
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Bangunan Perdana Putra hari ini. Mesyuarat yang bermula pada jam 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 31 menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati semalam. - Foto BERNAMA
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Bangunan Perdana Putra hari ini. Mesyuarat yang bermula pada jam 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 31 menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati semalam. - Foto BERNAMA

Dasar makmur rakyat lebih penting daripada manifesto

KUALA LUMPUR: Pembentangan manifesto yang lazimnya menjadi sandaran parti politik untuk meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), disifatkan bukan lagi komponen kritikal di mata rakyat ketika ini.

Diapit kemelut cabaran global dan tempias daripada penularan wabak coronavirus (COVID-19), rakyat sebaliknya ‘dahagakan’ hala tuju untuk memakmurkan segenap lapisan masyarakat serta membawa Malaysia keluar daripada kancah kemelut ekonomi.

Penganalisis politik dan geostrategis, Azmi Hassan, berkata Malaysia berdepan risiko kerana masih meletakkan kebergantungan terhadap hasil minyak pada kadar 33 peratus, sekali gus terdedah kepada impak kejatuhan harga sumber asli itu di pasaran dunia ketika ini.

Sehubungan itu, katanya, langkah tuntas kerajaan ke arah penubuhan jawatankuasa khas untuk mengharungi kemelut ekonomi dan dipengerusikan Perdana Menteri adalah langkah tepat bagi memastikan setiap isu yang membelenggu pertumbuhan negara berupaya ditangani secara menyeluruh.

“Manifesto tidak begitu kritikal pada ketika ini kerana ungkapan itu mempunyai konotasi yang agak negatif, malah dipandang sebagai ‘gula-gula’ menerusi kaca mata rakyat, sebaliknya visi kerajaan adalah lebih penting untuk memakmurkan rakyat dan negara dalam menghadapi kemelut ekonomi angkara penularan COVID-19 serta kejatuhan harga minyak mentah dunia.

“Agenda dan strategi kementerian mesti berpandukan visi untuk membantu rakyat. Tidak keterlaluan jika masih memerlukan manifesto sebagai panduan, tetapi dokumen digunakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini boleh diambil kerana ia dianggap strategi yang mampu dilaksanakan.

“Tetapi hakikatnya, rakyat tidak teruja lagi dengan janji manifesto, tetapi lebih utamakan langkah kerajaan untuk membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi. Umpamanya rakyat kurang peduli dengan strategi kerajaan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi melewati paras 4.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Tetapi mereka akan ambil peduli jika ada strategi untuk tambah wang boleh belanja rakyat, sebab itu dihujahkan bahawa ketiadaan manifesto bukan satu perkara kritikal untuk kerajaan ketika ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet hari ini dilaporkan berkata setiap kementerian dan jabatan diarah mengemukakan cadangan mengenai perkara serta dasar pembangunan untuk manfaat rakyat, selain kumpulan tertentu termasuk pelabur.

Langkah itu selari perkembangan semasa yang menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk menerusi keadaan luar biasa tanpa manifesto khusus.

Mengulas tekad kerajaan merungkai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Azmi menaruh keyakinan ia berupaya diselesaikan susulan pembentukan portfolio khas, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

“Dengan adanya portfolio khas ini dan beberapa menteri dan timbalan, selain menteri kanan, ia adalah manifestasi kesungguhan kerajaan untuk membantu kedua-dua wilayah ini.Teruskan rundingan yang dirintis BN dan disambung oleh Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana hampir 70 peratus perkara rundingan sudah dipersetujui kedua-dua pihak antara wilayah dan Persekutuan, justeru rundingan tidak perlu bermula daripada kosong peratus,” katanya.

Kepada soalan kemelut politik, Azmi berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sebaiknya menerima salam perdamaian yang dihulurkan Muhyiddin kerana ia mampu meredakan suasana ketidakstabilan di negara ini, malah ia dikhuatiri bakal mengundang kesan negatif sekiranya dibiarkan berlarutan.

“Tiada gunanya Tun (Dr Mahathir) berterusan memusuhi Muhyiddin kerana Tun sudah pun mengakui Muhyiddin mempunyai cukup sokongan di Parlimen,” katanya.

Berita Harian X