Selasa, 3 March 2020 | 5:48pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengelak daripada melantik pemimpin yang dikaitkan dengan masalah rasuah dan integriti dalam Kabinetnya. - BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengelak daripada melantik pemimpin yang dikaitkan dengan masalah rasuah dan integriti dalam Kabinetnya. - BERNAMA

Kabinet Muhyiddin perlu tolak pemimpin ada kes

KUALA LUMPUR: Jika pelantikan Kabinet diinginkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berteraskan ciri integriti dan bersih, ia dijangka tidak membabitkan pemimpin dalam kalangan jawatan tinggi daripada parti tertentu.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, berkata adalah penting bagi Perdana Menteri membuktikan janjinya itu dengan tidak melantik pemimpin yang dikaitkan dengan kes rasuah dan masalah integriti, meskipun individu berkenaan mempunyai kedudukan, kelulusan akademik dan jawatan dalam parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks pelantikan jemaah menteri itu, jawatan tinggi dalam parti tidak lagi seharusnya menjadi kriteria utama, sebaliknya ciri kepemimpinan seperti berintegriti, profesional harus diutamakan dalam misi memulihkan semula negara yang berdepan dengan krisis pentadbiran, integriti dan ekonomi.

“Pelantikan itu harus berteraskan untuk kepentingan negara dan rakyat bukan pemilihan berasaskan parti politik sahaja...ini keberanian yang patut dilaksanakan Perdana Menteri.

“Tindakan ini tidak popular (dengan melantik calon menteri bukan berasaskan jawatan tinggi dalam parti) tetapi demi negara, inilah peluang terbaik dengan memilih ahli politik yang profesional dan berintegriti untuk berada dalam barisan Kabinet.

“Jika ada pemimpin yang dikaitkan dengan kes rasuah atau berdepan kes itu di mahkamah, mereka tidak boleh berada dalam Kabinet sehinggalah mahkamah membuktikan mereka benar-benar tidak bersalah, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Semalam, Muhyiddin dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, berjanji hanya akan melantik jemaah menteri daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber, selaras kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan bebas rasuah.

Akhbar yang juga bekas Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), berkata beliau tidak menjangkakan barisan Kabinet kali ini adalah kombinasi beberapa pemimpin lama dalam pentadbiran sebelum ini, yang terbukti berupaya melaksanakan tugas dengan baik dan muka baharu.

Beliau berkata, pelantikan Kabinet kali ini disifatkan penting kerana ia mampu menjadi titik tolak untuk membuktikan bahawa Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh UMNO iaitu sebuah parti yang beberapa pemimpinnya dikaitkan dengan rasuah, diharap ‘berubah’ ke arah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan lampau.

“Ada juga ahli daripada parti yang dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan iaitu UMNO yang bersih...sebab itu sebelum lantikan dibuat, adalah penting untuk kerajaan membuat semakan dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis bahawa mereka tidak mempunyai kes rasuah atau salah laku yang sedang disiasat, ” katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Seri Zakaria Jaffar, berkata Perdana Menteri harus mengelak melantik mana-mana pemimpin yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah, meskipun belum dibuktikan bersalah.

Beliau berkata, meskipun pemimpin tertentu itu belum dibuktikan bersalah, namun pelantikan berkenaan mampu mengundang persepsi negatif oleh rakyat dan ia pastinya tidak baik untuk imej kerajaan.

“Namun saya percaya yang dikaitkan dengan rasuah itu tidak dilantik dan harapan kita supaya janji itu direalisasikan kerana rakyat memang benci terhadap pemimpin yang tidak berintegriti, ” katanya.

Berita Harian X