X
Khamis, 20 Februari 2020 | 8:55pm
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berucap pada Majlis Sambutan Penghantaran Tim Op Starlight 5, di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berucap pada Majlis Sambutan Penghantaran Tim Op Starlight 5, di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Hospital Medan Malaysia kekal hingga Disember 2021

KUALA LUMPUR: Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang beroperasi sejak 2018, akan dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga Disember 2021.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata perkara berkenaan dipersetujui pimpinan kerajaan selepas hospital itu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap Tiga terbaik dan paling dipercayai di Cox’s Bazar.

“Setakat ini, hospital itu merawat lebih 97,000 pesakit dan melaksanakan lebih 3,520 pembedahan yang sudah menyelamatkan ribuan nyawa pelarian dan rakyat di negara berkenaan.

“Selain itu, hospital berkenaan turut menjadi rujukan hospital lain di daerah sekitarnya sejak mula beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Penghantaran Tim Op Starlight 5, di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Seramai 56 petugas ATM akan berangkat ke Cox’s Bazar, esok dan 28 Februari ini menerusi Op Starlight 5, bagi memberi bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada pelarian Rohingya di negara itu.

Sementara itu, Ketua Op Starlight 5, Kolonel Dr Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar, berkata pihaknya akan memastikan langkah pencegahan berada pada tahap tertinggi susulan penularan jangkitan COVID-19.

“Mengikut maklumat diterima, kes COVID-19 masih terkawal di Bangladesh.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan anggota dan pegawai berkaitan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup mulut dan membawa bahan pencuci tangan,” katanya.

Berita Harian X