Ahad, 9 Februari 2020 | 3:22pm
Guan Eng menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Kastam Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
Guan Eng menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Kastam Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA

Impak coronavirus tentukan pakej rangsangan ekonomi - Guan Eng

BUTTERWORTH: Kementerian Kewangan akan melihat tempoh impak penularan jangkitan coronavirus di negara ini sebelum menentukan jumlah pakej rangsangan ekonomi yang sesuai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan bagi mengetahui perkembangan semasa mengenai jangkitan yang bermula dari Wuhan, China itu.

“Tunggu kita sediakan kerangka dahulu kerana perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Ada analisis menjangkakan wabak ini tidak berlarutan lama.

“Itu sebabnya kita nak pastikan ia (pakej rangsangan ekonomi) dapat membantu pihak memerlukan, yang terjejas dengan secara langsung.

“Apabila kerajaan mulakan pakej rangsangan ekonomi, ia dapat memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Guan Eng (lima dari kiri) bersama jemputan menggaul Yee Sang pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Kastam Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
Guan Eng (lima dari kiri) bersama jemputan menggaul Yee Sang pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Kastam Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA

Guan Eng berkata berkata demikian sebagai mengulas laporan ahli ekonomi yang menyatakan peruntukan antara RM10 bilion hingga RM15 bilion dijangka diperlukan bagi menangani kesan penularan coronavirus kepada ekonomi negara.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, dilaporkan berkata, antara industri yang perlu diberi tumpuan adalah sektor pelancongan, pembuatan, kesihatan dan pendidikan.

Ditanya bila pakej rangsangan ekonomi itu akan diumumkan, Guan Eng berkata, ia perlu dibentang di Kabinet terlebih dahulu selain mendapat pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita nak buat dalam masa terdekat tetapi kami perlu bentangkan kepada Kabinet dulu. Kami perlu dapatkan juga pandangan dan input Perdana Menteri.

“Masih awal lagi tapi kita perlu dapatkan maklum balas semua pihak dengan dimulai sektor pelancongan esok, diikuti sektor lain,” katanya.

Berita Harian X