Selasa, 17 Disember 2019 | 12:09pm
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. - Foto Saifullizan Tamadi
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. - Foto Saifullizan Tamadi

TH jangka hibah lebih tinggi bagi 2019

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan pembayaran hibah yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019 kepada 8.71 juta pendepositnya, berbanding tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, menyatakan keyakinan itu berdasarkan prestasi lembaga itu setakat suku ketiga tahun ini.

“Kalau lihat (prestasi TH) setakat September lalu, Alhamdulillah pencapaian kita di dalam landasan yang betul. Kita tunggulah. Tahun ini masih berbaki beberapa minggu dan selepas itu, baru kita boleh kira berapa jumlah yang dapat kita agihkan.

“(Jangkaan hibah) Insya-Allah lebih baik daripada yang diumumkan tahun ini (untuk tahun kewangan 2018),” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan kenderaan dwi fungsi - Program Mobiliti TH 2019 di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai jangkaan hibah bagi tahun kewangan 2019 yang bakal diumumkan TH kepada pendepositnya, berdasarkan prestasi kewangan itu yang disifatkan penganalisis sebagai amat positif.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (tiga,kiri) menyerahkan replika kunci van dwifungsi kepada Imam Masjid Al Ghafaar Jasin, Hashemi Rafsanjani (empat,kiri) pada majlis penyerahan van tersebut di Menara Tabung Haji hari ini. Sebanyak 25 buah masjid terpilih di seluruh negara menerima van yang boleh digunakan untuk membawa penumpang serta jenazah. - Foto BERNAMA

April lalu, TH mengumumkan agihan hibah 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Sebelum ini, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, dilaporkan yakin TH dapat mengumumkan hibah lebih baik bagi 2019 melihat prestasi kewangan lembaga itu pada suku ketiga tahun ini.

TH mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM500 juta pada suku ketiga 2019, meningkatkan keuntungan untuk tempoh sembilan bulan tahun ini kepada RM1.3 bilion dengan jumlah aset terus mengatasi tanggungan sebanyak RM2.3 bilion, lebih tinggi berbanding RM1 bilion pada 2018.

Institusi tabungan bagi jemaah haji itu mencatatkan pendapatan RM900 juta pada suku yang sama, meningkatkan pendapatan untuk sembilan bulan bagi 2019 kepada RM2.1 bilion.

TH dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan, dana berkenaan dijana terutama daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM400 juta), pelaburan ekuiti (RM300 juta) serta pelaburan instrumen pasaran kewangan Islam (RM300 juta).

Berita Harian X