Sabtu, 12 Oktober 2019 | 3:02pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan sambutan Hari Arthritis Sedunia 2019, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan sambutan Hari Arthritis Sedunia 2019, hari ini. - Foto BERNAMA

Ramai wanita derita sakit sendi

SUBANG JAYA: Golongan wanita yang menderita penyakit sendi atau arthritis, di seluruh negara lebih tinggi, iaitu dengan nisbah tujuh wanita manakala hanya seorang adalah lelaki.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berkata data Pendaftaran Arthritis Radang Kebangsaan (NIAR) yang dicatatkan sehingga September lalu, di hospital kerajaan di seluruh negara, mendapati 6,059 pesakit menghidap ‘rheumatoid arthritis’.

“Daripada jumlah itu, 87.4 peratus adalah wanita. Ini menunjukkan nisbah seorang lelaki berbanding tujuh wanita menderita menghidap penyakit sendi.

“Penyakit arthritis boleh menyerang sesiapa sahaja, tanpa mengira usia termasuk kanak-kanak, jantina dan paling ramai adalah wanita.

“Lazimnya penyakit itu menyerang wanita berusia antara 21 hingga 60 tahun. Penyakit lupus eritematosus sistematik (SLE) juga sejenis penyakit autoimmune, juga lazimnya menyerang wanita terutamanya dalam kalangan usia belasan tahun hingga 20-an, iaitu pada usia reproduktif,” katanya ketika merasmikan Hari Artritis Sedunia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Rheumatologi Malaysia, Kementerian Kesihatan, Dr Mollyza Mohd Zain.

Dr Wan Azizah berkata, sikap pesakit artritis tidak mahu mendapatkan rawatan, sebaliknya hanya menyembunyikan dan sanggup menahan kesakitan.

Pesakit terbabit juga menganggap penyakit ini tidak penting dan enggan mengambil tahu berkaitannya dan hanya mendapatkan rawatan apabila perlu membuatkan sukar dirawat apabila bertambah serius.

“Oleh itu, penghidap arthritis dan ahli keluarga harus peka mengenai penyakit yang dialami.

“Buat masa ini terdapat rawatan terkini seperti ubat biologik yang yang mampu merawat penyakit itu dan memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani hidup secara normal tanpa ‘disabiliti fizikal’,” katanya.

Selain itu, katanya menjelang abad ke-21, jumlah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan obesiti juga dijangka terus meningkat.

“Mereka berisiko mendapat penyakit kronik itu disebabkan tidak mengamalkan gaya hidup aktif. Mengikut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015, ramai kalangan mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun berisiko mendapat obesiti disebabkan tidak melakukan aktiviti fizikal.

“Kira-kira 40 peratus mereka berusia lebih 60 tahun pula mengalami kesukaran berjalan,” katanya.

Kementerian Kesihatan juga sudah melaksanakan Pelan Tindakan Penjagaan Kesihatan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), 2011-2020.

“Pelan penjagaan kesihatan itu bertujuan memulih dan mengekalkan gaya hidup sihat dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti.

“Kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama melaksanakan program pendidikan bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit arthritis dalam kalangan masyarakat dan langkah perlu diambil merawat penyakit itu,” katanya.

Berita Harian X