Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:07pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerajaan sedia RM1 bilion pakej galakan pelaburan istimewa kepada syarikat Fortune 500

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk menarik syarikat Fortune 500 dan ‘global unicorn’ dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, sebagai syarat kelayakan, setiap syarikat perlu melabur sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia.

Beliau berkata insentif itu akan menjana aktiviti ekonomi tambahan yang akan menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mewujudkan 150,000 pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh lima tahun serta mengukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan.

Bagi mentransformasikan perniagaan tempatan yang terunggul dan berpotensi untuk bersaing dalam pasaran eksport global, kerajaan juga akan menawarkan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 5 tahun kepada syarikat tempatan yang layak.

“Insentif ini adalah bersyarat dan tertakluk kepada syarikat yang dapat membuktikan keupayaan untuk berkembang dan mengeksport produk dan perkhidmatan ke seluruh dunia,” katanya.

Guan Eng berkata kerajaan menjangka langkah ini akan memperkukuh ekosistem rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan 100,000 pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri khususnya untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan pelaburan direalisasikan selepas diluluskan.

“Pada tahun ini, kerajaan telah memulakan langkah mengkaji secara menyeluruh dan merombak kerangka insentif sedia ada merangkumi Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Pakej Galakan Istimewa dan insentif di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Guan Eng berkata kerangka baharu itu dijangka siap pada 1 Januari, 2021. – BERNAMA

Berita Harian X