Khamis, 26 September 2019 | 6:42pm
Maszlee menyampaikan sijil mandat kepada Ketua-Ketua Kluster Pemerkasaan TVET selepas majlis Sesi Dialog Kementerian Bersama Industri Untuk Memperkasakan TVET di Putrajaya.
Maszlee menyampaikan sijil mandat kepada Ketua-Ketua Kluster Pemerkasaan TVET selepas majlis Sesi Dialog Kementerian Bersama Industri Untuk Memperkasakan TVET di Putrajaya.

7 strategi jayakan TVET

PUTRAJAYA: Penubuhan Badan Penyelaras Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dilihat mampu menyatukan TVET di bawah satu bumbung dengan menjadi sistem tunggal yang lebih berdaya saing.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata penubuhan badan induk terbabit akan memberi tumpuan kepada kecukupan Model Pembiayaan, Model Pemilikan Bersama, dan pemerkasaan Persijilan TVET (Industri) serta bergerak dengan Jenama TVET Kebangsaan Tunggal.

“Usaha ini berkeupayaan menyelesaikan semua masalah berkaitan TVET seperti

masalah akreditasi, kekurangan fasiliti dan kelompongan sistem. Namun apa yang dapat dipastikan, sebahagian besarnya kita sudah tangani.

“Bagaimanapun, apa yang kita perlukan sekarang ialah perubahan dari segi pemikiran dan persepsi cara bekerja. Kita perlu babitkan lebih banyak industri untuk memperkuatkan program dwi latihan dan seterusnya bergerak dari penyertaan industri kepada kerjasama industri sebelum menuju kepada industri-led TVET, ” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen TVET Kebangsaan di sini hari ini.

Maszlee berkata pihaknya juga meletakkan meletakkan tujuh strategi yang akan diguna untuk menjayakan sasaran TVET negara.

Tujuh strategi berkenaan ialah mengubah konsep pendidikan tradisional dari ‘train and place’ kepada ‘place and train’; memperkenalkan Co-Ownership Model antara kerajaan dan industri untuk peralatan, teknologi, kepakaran dan inovasi; mewujudkan Industry based Centre of Excellence (CoE) agar berlaku penyelarasan antara semua institusi TVET untuk mengoptimumkan sumber dan dana kerajaan.

Strategi lain ialah memperkenalkan TVET Valued Industry Partners (TVETVIP) untuk menggalakkan industri menerajui sistem TVET; menggerakkan ‘flatmobility of expertise’ iaitu untuk memastikan wujudnya penyelarasan di antara industri dan pusat pendidikan TVET; mengusahakan peluang pekerjaan dan gaji minimum untuk memastikan graduan TVET mendapat gaji lumayan dan memperolehi laluan karier yang jelas dan terjamin untuk mereka.

Strategi ketujuh ialah bergerak dengan Industry Led Competency Certification Bodies (Model German Dual Vocational Training) di mana pengiktirafan ini akan diterajui oleh industri untuk mengelakkan pertindihan atau silap atur.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis yang dianjurkan, Maszlee berkata, Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET melancarkan Kempen TVET Kebangsaan yang membabitkan pelancaran logo dan slogan, pencarian TVET Influencer dan Anugerah TVET Valued Industry Partners (VIP).

“Kempen ini berlangsung sehingga bulan November ini adalah salah satu strategi utama bagi memperkasakan TVET di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X