Selasa, 20 Ogos 2019 | 11:32pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - Foto Saifullizan Tamadi
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - Foto Saifullizan Tamadi

Malaysia sambut baik kajian semula MAFTA, mahu keutamaan muktamad RCEP

CANBERRA: Malaysia menyambut baik kajian semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA).

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata sebarang usaha untuk berbuat demikian hanya akan dipertimbangkan selepas rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimuktamadkan.

Beliau berkata, MAFTA memberi manfaat kepada perniagaan, pelabur dan pengguna menerusi pengurangan dan penghapusan tarif selain meningkatkan akses bagi perdagangan dan pelaburan.

“Ia juga membolehkan akses pasaran terbuka kepada pelbagai industri dan perkhidmatan di kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Australia-Malaysia ke-18 dengan Menteri Perdagangan, Pelancongan dan Pelaburan Australia, Senator Simon Birmingham, di sini, hari ini.

Darell berkata, Malaysia mengalu-alukan kajian semula MAFTA tetapi keutamaan diberikan untuk memuktamadkan RCEP.

“Oleh kerana kedua-dua pihak ketika ini sedang merundingkan untuk memuktamadkan RCEP menjelang akhir tahun ini, kita mungkin menimbang membuat semakan semula itu hanya selepas RCEP dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga perlu mempunyai objektif dan parameter yang jelas sekiranya kajian semula itu akan dilaksanakan.

Kedua-dua menteri itu juga mengarahkan pegawai untuk mengadakan Suruhanjaya Bersama FTA Malaysia-Australia dua hala awal tahun depan bagi mengambil kira isu perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk parameter bagi kajian am masa depan MAFTA.

Ketika mesyuarat itu, beberapa isu dihadapi syarikat Malaysia dan Australia dibangkitkan, termasuk akses pasaran dan pengiktirafan standard bersama.

Darell mahu mendapatkan kerjasama daripada Australia untuk mengiktiraf dan menerima sijil Amalan Perkilangan Yang Baik (GMP) yang dikeluarkan oleh Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA) dan mengalu-alukan kerjasama antara NPRA dan Australian Therapeutic Good Administration.

“Berhubung isu standard, kami berharap Australia akan menimbang permintaan Malaysia untuk mempunyai perjanjian pengiktirafan bersama bagi standard,” katanya.

Darell berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga bekerjasama rapat dengan kerajaan Australia menerusi Kumpulan Petugas Khas Halal.

“Kami menyambut baik kerjasama antara Malaysia dan Australia dalam memanfaatkan pasaran halal global yang dianggarkan bernilai lebih daripada US$2.3 trilion (RM9.6 trilion), dengan sektor makanan halal sahaja dianggarkan bernilai hampir US$700 juta (RM2.92 bilion),” katanya.

Beliau juga menekankan komitmen Malaysia untuk memastikan negara kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan mesra perniagaan, termasuk kepada pelabur Australia.

Katanya, komuniti perniagaan digalakkan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menambah baik persekitaran perniagaan.

Sementara itu, Darell turut menyentuh mengenai RCEP dengan meminta semua pihak yang terbabit dalam rundingan menunjukkan fleksibiliti dengan prinsip panduan bahawa RCEP adalah didorong ASEAN.

“Adalah penting untuk membincangkan dan memutuskan mengenai isu berbangkit daripada pusingan Jakarta, yang mana ia kritikal kepada beberapa kerajaan untuk mereka mengumumkan rundingan dimuktamadkan pada November,” katanya.

Mengenai Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), beliau berkata Malaysia sebagai tuan rumah pada 2020 akan menyampaikan mesej utama gagasan ‘Kemakmuran Bersama’ yang diterapkan dalam semua bidang keutamaan dan inisiatif yang dilaksanakan pada tahun itu.

Beliau berkata, ia akan dilakukan menerusi penekanan kepada ‘Tanggungjawab Bersama’.

“Mesej itu menekankan kepada keperluan untuk menangani pengagihan pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata antara dan dalam ekonomi APEC dalam era gangguan digital ini,” katanya.

Beliau berkata, pemboleh dalam bentuk bidang keutamaan sudah dikecilkan kepada tiga bidang utama, iaitu menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan, penyertaan ekonomi inklusif menerusi ekonomi digital dan teknologi dan memacu kemampanan inovatif.

Mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Darell berkata Malaysia masih menilai perjanjian itu dan negara tidak mempunyai tarikh khusus bagi ratifikasi.

Beliau berkata, kerajaan baharu juga masih belum memutuskan mengenai sama ada Malaysia akan meratifikasikan perjanjian itu.

RCEP adalah perjanjian perdagangan pelbagai hala antara negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dengan enam rakan FTA iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Perjanjian itu akan meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan membabitkan 3.5 bilion penduduk.

Tahun lalu, Australia adalah rakan dagangan global ke-11 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara direkodkan sebanyak RM55.13 bilion.

Dari segi pelaburan, 350 projek pembuatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan RM2.79 bilion, mewujudkan 22,626 pekerjaan di Malaysia dalam sektor pembuatan utama seperti produk berasaskan kimia, produk berasaskan petroleum dan produk berasaskan getah. - BERNAMA

Berita Harian X