X
Khamis, 1 Ogos 2019 | 8:22pm
Mustapha Kamil Mohd Janor (tiga dari kiri), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (dua dari kiri) dan Kamaruddin Mape (kiri) beramah mesra bersama sebahagian peserta kursus pada Klinik Media 2019 anjuran Media Prima di Balai Berita Bangsar. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Mustapha Kamil Mohd Janor (tiga dari kiri), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (dua dari kiri) dan Kamaruddin Mape (kiri) beramah mesra bersama sebahagian peserta kursus pada Klinik Media 2019 anjuran Media Prima di Balai Berita Bangsar. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Klinik Media 2019 beri manfaat kepada peserta

KUALA LUMPUR: Peserta program Klinik Media 2019 berpuas hati dengan pengisian program yang dilihat bermanfaat untuk dipraktikkan dalam unit komunikasi korporat masing-masing.

Program itu dihadiri 72 peserta daripada 13 kementerian bagi mendalami skop kerja editorial Media Prima Berhad (MPB) untuk pemahaman mereka dalam menguruskan keperluan pengamal media.

Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata kerjasama yang erat antara pihak media dan pegawai kementerian amat penting dalam memastikan laporan berita yang lengkap, tepat dan seimbang serta memanfaatkan masyarakat.

Mustapha Kamil (depan tengah) bergambar bersama peserta Klinik Media 2019 di Balai Berita, Bangsar. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Mustapha Kamil (depan tengah) bergambar bersama peserta Klinik Media 2019 di Balai Berita, Bangsar. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

“Jadikan ini permulaan bagi jalinkan kerjasama yang lebih erat antara kita.

“Janganlah segan untuk menghubungi MPB dan kami memohon kerjasama ketika kami memerlukan bantuan terutama dari segi pemberian maklumat dan penerangan terperinci,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Klinik Media 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, Ahmad Zaini, berkata perkongsian pengalaman pengamal media ini dilaksanakan bagi panduan setiausaha akhbar menteri dan pegawai unit komunikasi korporat dari pelbagai kementerian untuk memahami struktur tugasan media.

Katanya, ia memudahkan kementerian untuk menyampaikan dasar kerajaan menerusi media arus perdana menggunakan pentas MPB merangkumi akhbar, televisyen, radio dan media digital.

“Ini kali pertama program seumpamanya dilaksanakan membabitkan pelbagai kementerian khususnya ketua unit dan setiausaha akhbar menteri.

“Pentas ini membuka ruang untuk mereka mengenali media dan kita juga dapat mendengar apa masalah yang dihadapi setiap kali berhadapan dengan media.

“Berdasarkan maklum balas yang kita peroleh pada program ini, sangat positif dan memberi manfaat kepada mereka. Ada juga permintaan untuk diteruskan dan insya Allah kita akan cuba memenuhinya,” katanya.

PENGARANG Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Ketua Pengarang, Jabatan Berita & Ehwal semasa, Rangkaian TV Media Prima, Kamaruddin Mape dan Timbalan Ketua Perancang Strategi Rev Asia, Darian Goh ketika ditemui pada Klinik Media 2019 anjuran Media Prima di Balai Berita Bangsar. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
PENGARANG Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Ketua Pengarang, Jabatan Berita & Ehwal semasa, Rangkaian TV Media Prima, Kamaruddin Mape dan Timbalan Ketua Perancang Strategi Rev Asia, Darian Goh ketika ditemui pada Klinik Media 2019 anjuran Media Prima di Balai Berita Bangsar. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Barisan ahli panel kali ini termasuk Ketua Pengarang, Jabatan Berita & Ehwal semasa, Rangkaian TV Media Prima, Kamaruddin Mape; Timbalan Ketua Perancang Strategi Rev Asia, Darian Goh; Pengarang Berita Wilayah, Jabatan Berita & Ehwal semasa, Rangkaian TV Media Prima, Azwaliza Azman dan pengacara, Fedtri Yahya.

Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan isu komunikasi korporat dan media serta pengurusan krisis.

Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rosmonaliza Abdul Ghani, berkata Klinik Media yang dianjurkan itu sangat berkesan untuk memantapkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Sebelum ini saya hanya bertugas mengendalikan media berdasarkan pengetahuan dan pengalaman selama lima tahun saja.

“Namun, klinik ini memberi input lebih luas khususnya bagaimana untuk menasihatkan pihak pengurusan apabila berdepan dengan pengamal media.

“Selain itu pelbagai tips (petua) yang diajar dan saya akan kongsi bersama di unit korporat kami,” katanya.

Bagi Ketua Komunikasi Strategik, Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, Mohd Nazri Abdullah, pula berkata beliau tertunggu-tunggu untuk menyertai program seperti ini yang untuk menimba lebih banyak ilmu.

“Saya berpengalaman 14 tahun sebagai pengamal media, kita rasa macam sudah tahu segalanya, tetapi apabila mengikuti program ini, ternyata banyak lagi input baru diperoleh.

“Ilmu baru ini mampu membantu meningkatkan mutu pengendalian bersama media pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X