Khamis, 1 Ogos 2019 | 1:18pm

Latih lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi - PM

PUTRAJAYA: Lebih ramai pekerja tempatan berkemahiran tinggi perlu dilatih bagi menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perubahan yang berlaku kini dijangka memberi kesan terhadap semua industri tanpa ada yang terkecuali.

“Sebelum ini, ia mungkin hanya berkaitan pemasangan produk. Namun hari ini, ia berkaitan pengaturcaraan robot atau mesin automatik, dengan perubahan demi perubahan.

“Apa perlu dilakukan sekarang ialah melatih modal insan negara ke arah berkemahiran tinggi yang mana ia bukan lagi hanya berkaitan memasang produk tetapi juga mampu mengendalikan pengoperasian mesin supaya ia kekal berfungsi, selain menghasilkan mesin dan peralatan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa bertema ‘Memperkasa Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat Untuk Masa Depan’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Persidangan meja bulat itu disertai 30 perwakilan daripada 20 dewan perniagaan asing, termasuk Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia (JACTIM), American Malaysia Chamber of Commerce (AMCHAM) dan EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUMCCI).

Persidangan itu antara lain sebagai platform khusus untuk kedua-dua pihak kerajaan dan komuniti perniagaan asing menyumbang maklum balas serta idea mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan asing.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia berminat menghantar modal insan ke luar negara untuk belajar dan bekerja dalam sektor industri, sekali gus membawa pulang pengetahuan, kemahiran serta kepakaran ke negara ini.

“Pada persidangan meja bulat itu, mereka turut menyatakan kesediaan menghantar tenaga pakar mereka ke negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, isu dibangkitkan pada sesi meja bulat itu termasuk sistem pendidikan perlu ditumpukan kepada aspek industri dan bukan lagi seni semata-mata.

“Sudah pasti Jerman memiliki sistem terbaik yang mana satu per tiga daripada waktu mereka adalah di dalam kelas dan dua per tiga di tempat kerja atau industri.

“Mereka turut mengalu-alukan pembaharuan berkaitan tenaga buruh negara, terutama mengenai latihan orientasi pekerja ke arah menjadikan mereka lebih produktif dalam mendepani perubahan berlaku dalam industri kini,” katanya.

TUN Dr Mahathir Mohamad bergambar ketika hadir pada pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.
TUN Dr Mahathir Mohamad bergambar ketika hadir pada pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.
Berita Harian X