Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:21pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Perkukuh daya saing industri pastikan Malaysia kekal jadi pilihan pelabur asing - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persekitaran kondusif bagi menggalakkan aliran masuk modal asing dan teknologi, selain mengukuhkan daya saing industri dalam pasaran global, adalah perlu untuk memastikan Malaysia kekal menjadi pilihan pelabur asing.

Perdana Menteri berkata, pelbagai perkara kini berpusat pada Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), kecerdasan buatan (AI), inovasi, automasi, Internet of Things (IoT) dan kemajuan teknologi yang memberi kesan terhadap keseluruhan industri.

“Seperti yang kita tahu, Industri 4.0 akan mengubah jenis pekerjaan diperlukan dalam semua sektor dan pasaran pekerjaan. Bagaimanapun perlu diingat, perubahan itu adalah sesuatu yang normal. Apa yang perlu terus menjadi keutamaan ialah pembangunan bakat berterusan.

“Seperti yang saya kongsikan pada Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019, baru-baru ini, tumpuan kepada Industri 4.0 bukan semata-mata terhadap pertumbuhan teknologi tetapi juga mereka yang terkesan olehnya.

“Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), beberapa pekerjaan baharu akan meningkat ketara pada tahun-tahun akan datang, sekali gus dijangka berlaku berjuta pertindihan pekerjaan. Oleh itu, saya menyeru anda semua sebagai wakil komuniti perniagaan, membantu memacu daya saing dan inovasi bagi mewujudkan pekerjaan masa depan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa bertema ‘Memperkasa Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat Untuk Masa Depan’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Persidangan meja bulat itu disertai 30 perwakilan daripada 20 dewan perniagaan asing, termasuk Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia (JACTIM), American Malaysia Chamber of Commerce (AMCHAM) dan EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUMCCI).

Dr Mahathir berkata, masih banyak perlu dilakukan bagi memastikan modal insan negara dilengkapi kemahiran tepat untuk nilai tambah, kreatif dan interaktif dalam persekitaran didorong teknologi.

“Adalah sangat penting untuk sektor awam dan swasta bekerjasama rapat memacu pembangunan ekosistem Industri 4.0 di Malaysia.

“Ia sekali gus membolehkan kita mengoptimumkan semua sumber bakat negara ini, sama ada graduan tempatan, diaspora Malaysia, bakat mahir luar negara mahupun bakat rentan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kita berharap sesi dialog hari ini yang pertama seumpamanya akan menjadi platform kerjasama berterusan antara kerajaan dengan komuniti dewan perniagaan antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tema sesi dialog berkenaan juga amat mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk dan membangunkan modal insan berpengalaman, berpengetahuan serta inovatif bagi memenuhi keperluan industri kini dan pada masa depan.

Beliau berkata, tema itu juga mengesahkan empat bidang keutamaan diberi penekanan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), iaitu pembaharuan pasaran buruh; meningkatkan kecekapan buruh dan produktiviti; meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti; serta memupuk hubungan industri-akademik yang lebih kukuh.

“Pembaharuan ini penting bukan saja untuk membangunkan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan kita, tetapi juga dalam menangani ketidakpadanan pekerjaan yang menyumbang pengangguran, pertumbuhan gaji yang perlahan dan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

“Semua ini ada implikasi serius terhadap ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula undang-undang buruh untuk memperbaiki pasaran buruh, memastikan ketelusan lebih tinggi dan terus menjaga kebajikan pekerja.

Berita Harian X