Rabu, 31 Julai 2019 | 11:00am

Perkukuh jalinan kerjasama institusi pendidikan Malaysia-China

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat memperkukuhkan jalinan kerjasama institusi pendidikan dengan China, seiring matlamat meraikan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang kini memasuki tahun ke-45.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata delegasi Malaysia diwakili 46 pegawai diketuai Pengarah Bahagian Pendidikan, Prof Dr Rahmah Ahmad Osman, menghadiri Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN Ke-12 (CAECW) di Guiyang, Guizhou, dari 22 hingga 23 Julai lalu.

Antara pengisian program antarabangsa itu ialah sesi perbincangan dengan Pengarah Jabatan Pertukaran dan Kerjasama Antarabangsa Kementerian Pendidikan serta Pengarah Urusan CAECW, Wang Rui, bagi mempromosikan sektor pendidikan di Malaysia secara menyeluruh.

Rahmah yang menerajui proses libat urus itu turut menyuntik keyakinan kepada China bahawa sektor pendidikan di Malaysia berada pada tahap kualiti tertinggi kerana mempunyai badan berkuasa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kita turut mengalu-alukan penyertaan syarikat gergasi seperti Alibaba untuk bekerjasama secara strategik dalam menawarkan latihan dan kepakaran industri kepada pelajar Malaysia,” katanya.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Aini Ideris, yang diberi penghormatan menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian CAECW berkata Malaysia berhasrat menjadi hab pendidikan antarabangsa.

Mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, beliau menzahirkan komitmen untuk mempromosikan pertukaran bahasa dan budaya, selain memacu usaha ke arah menggalakkan program mobiliti pelajar serta pegawai.

“Malaysia berminat dengan Data Raya dan Revolusi Industri (IR) 4.0 yang sememangnya bidang keutamaan di wilayah Guizhou, malah sektor pendidikan kita mempunyai pelbagai nilai tambah seperti berkualiti tinggi, kemesraan aspek budaya, kos pengajian secara berpatutan dan menjadikan bahasa Inggeris penghubung pengantarabangsaan,” katanya.

Di sisi program CAECW, sebanyak 11 universiti dari China dan sembilan universiti dari Malaysia menyertai Perbincangan Meja Bulat Presiden China-Malaysia yang menyediakan wadah terbaik bagi kedua-dua negara saling mengenali serta memahami IPT masing-masing, selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Sebanyak 23 surat hasrat dan tiga dokumen kerjasama pendidikan dipersetujui serta ditandatangani oleh IPT Malaysia-China.

Menerusi kunjungan ke negara Tembok Besar itu, Malaysia menzahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Pusat Kebudayaan Malaysia di Guizhou Minzu University, seiring usaha menyediakan maklumat berkaitan kebudayaan dan perkembangan Malaysia kepada masyarakat Guizhou.

Berita Harian X