Rabu, 17 Julai 2019 | 2:53pm
PENGARAH Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob memberi risalah kepada pemandu bas sekolah pada Ops Pemutihan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chong Hwa, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri
PENGARAH Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob memberi risalah kepada pemandu bas sekolah pada Ops Pemutihan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chong Hwa, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

PERKESO kesan pemandu tidak mencarum

KOTA BHARU: Hanya 254 daripada 2,193 pemandu pengangkutan awam di Kelantan mendaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (SPS) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob, berkata jumlah itu mewakili 11 peratus daripada jumlah keseluruhan pemandu yang sepatutnya berdaftar dengan PERKESO.

Justeru, pihaknya mengadakan Program Ops Pemutihan bermula 1 Julai hingga 31 Julai ini untuk menggalak pemandu teksi, perkhidmatan e-hailing, bas sekolah dan kilang berdaftar sebagai pencarum.

“Pendaftaran dalam tempoh Ops Pemutihan tidak dikenakan kompaun, namun bermula 1 Ogos ini, kompaun dikenakan mengikut Seksyen 75 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sebanyak RM500 hingga RM4,000 ke atas pemandu gagal berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Pemutihan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chong Hwa di sini, hari ini.

Operasi dijalankan dengan kekuatan 15 anggota Unit Penguatkuasaan PERKESO yang mensasarkan tiga kawasan utama iaitu di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chong Hwa, SRJK Cina Peir Chih dan Stesen Teksi Kubang Kerian di sini.

Melalui operasi itu, penguat kuasa PERKESO akan mendekati pemandu bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing untuk memberi nasihat serta pencerahan mengenai kepentingan berdaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Mengulas lanjut, Nora berkata, pemandu pengangkutan awam disarankan menjadi pencarum supaya dapat memberi perlindungan keselamatan sosial pekerja jika berlaku kemalangan atau kematian.

Selain Ops Pemutihan, PERKESO juga mengambil pendekatan lain seperti membuat hebahan di radio dan akhbar serta membuat perjumpaan dengan persatuan teksi bagi menyampaikan maklumat berkenaan.

“Ramai masih tidak peka dengan kepentingan skim ini walaupun mereka boleh membayar caruman serendah RM13.10 sebulan dan ada beberapa lagi pilihan caruman bergantung kepada kemampuan mereka,” katanya.

Berita Harian X