Rabu, 26 Jun 2019 | 4:47pm

Tingkat pengetahuan keselamatan siber

PETALING JAYA: Pendedahan kepada risiko ancaman keselamatan siber yang boleh menjejaskan organisasi dan pekerja antara fokus Hari Keselamatan Siber Media Prima 2019 di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Media Prima dalam satu kenyataan berkata, program berkenaan bagi menyemarakkan pengetahuan berhubung keselamatan siber dengan mempamerkan teknologi keselamatan siber.

Hari Keselamatan Siber juga dapat meningkatkan kesedaran dan mempromosikan amalan keselamatan siber yang baik di tempat kerja melalui siri aktiviti interaktif.

Program berkenaan amat bermanfaat untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan organisasi dan pekerja.

Program berkenaan dirasmikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Media Prima, Farnida Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTV), Johan Ishak; Ketua Pegawai Teknologi Media Prima, Zuraidah Atan dan Pengarah Eksekutif KPMG Malaysia, Dani Michaux.

Menurut kenyataan itu, walaupun keselamatan siber ‘dikuasakan’ sepenuhnya oleh perisian dan perkakasan, sumber manusia masih menjadi barisan pertahanan yang paling penting.

Sehubungan itu, setiap anggota organisasi perlu sentiasa mempertimbangkan aspek keselamatan sebagai keutamaan.

Dalam pada itu, objektif program berkenan adalah untuk membanteras gangguan dan pencerobohan siber dan untuk mempamerkan teknologi keselamatan.

Seterusnya, ia bermatlamat untuk menerangkan risiko siber, mendedahkan insiden pencerobohan siber untuk memberi pengetahuan kepada anggota masyarakat mengenai kepentingan keselamatan siber.

PENGARAH Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (tengah) bersama pengurusan MPB, Ketua Pegawai Eksekutif, MPTV, Johan Ishak (kanan sekali), Ketua Pegawai Teknologi, Zuraidah Atan (dari kiri), Ketua Pegawai Kewangan, Farnida Ngah dan Pengarah Eksekutif, KPMG Malaysia, Dani Michaux merasmikan MPB Cyber Security Day 2019 di Sri Pentas, Bandar Utama. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Berita Harian X