Sabtu, 15 Jun 2019 | 4:05pm
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

'Naik gaji, elaun bukan jaminan banteras rasuah'

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji dan elaun bukan penyelesaian mutlak terhadap usaha membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam.

Sebaliknya, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia lebih cenderung kepada penekanan nilai moral tinggi dan integriti ke arah mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan telus.

Walaupun langkah menaikkan gaji mampu mengurangkan kecenderungan mengambil rasuah, beliau berkata, ia tidak akan berjaya jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebihi kemampuan menguasai diri.

Justeru, katanya, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memupuk nilai integriti dan beretika kerana individu berintegriti tinggi tidak mungkin terjerumus dengan rasuah.

“Semua pihak harus membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencapai ‘sifar rasuah’ dengan meningkatkan integriti dan menjadikan kebencian terhadap rasuah sebagai budaya masyarakat.

“Penerapan nilai murni dan etika diiringi pematuhan kepada ikrar pentadbiran yang baik dapat memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

“Selain itu, sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan perlu diwujudkan di semua agensi penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, usaha memerangi rasuah memerlukan pembabitan orang awam dengan membantu mendidik mengenai bagaimana mereka boleh melaksanakan hak dan tanggungjawab ke arah mewujudkan pentadbiran bersih dan berintegriti.

Dalam merealisasikan matlamat itu, katanya, promosi kesedaran dengan pembabitan awam perlu diberi penekanan.

Katanya, ia termasuk mewujudkan media yang bebas membongkar kegiatan rasuah, menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu integriti dan penyalahgunaan kuasa serta membangunkan kesedaran sivik bagi memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam kalangan rakyat.

“Institusi pengajian tinggi perlu menyemai nilai integriti dalam kalangan mahasiswa untuk mengubah persepsi rasuah bukan ancaman.

“SPRM juga boleh berperanan memupuk nilai positif di semua kolej latihan guru supaya pendidik dapat menyampaikan nilai baik kepada pelajar masa depan mereka,” katanya.

Berita Harian X