X
Rabu, 29 Mei 2019 | 9:46pm
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran (tengah), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) dan tetamu VIP beramah mesra dengan anak- anak yatim pada Majlis Iftar PERKESO 2019 di Hilton Kuala Lumpur Hotel. - NSTP/Amirudin Sahib
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran (tengah), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) dan tetamu VIP beramah mesra dengan anak- anak yatim pada Majlis Iftar PERKESO 2019 di Hilton Kuala Lumpur Hotel. - NSTP/Amirudin Sahib

Kompaun sehingga RM4,000 menanti pemandu e-hailing gagal carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing yang gagal mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk kompaun maksimum sehingga RM4,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya memberi tempoh sehingga akhir Jun depan kepada semua pemandu e-hailing untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana sehingga kini hanya 14,500 daripada pemandu teksi dan e-hailing yang mencarum dengan PERKESO.

“Apa yang menyedihkan sehingga kini hanya kira-kira 4,000 daripada lebih 200,000 pemandu e-hailing yang mencarum dengan PERKESO.

“Ini bermakna masih terdapat lebih 195,000 pemandu e-hailing di luar sana yang belum mencarum dengan PERKESO, biarpun tempoh untuk mereka berbuat demikian ialah sebelum akhir Jun depan, seperti lesen Vokasional (PSV) ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 12 Julai 2019.

“Jika pemandu e-hailing gagal mendaftar sehingga akhir Jun ini maka PERKESO tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun antara RM400 hingga RM4,000 biarpun niat kita bukan mahu menyusahkan mereka sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Majlis Iftar PERKESO 2019 yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan timbalannya, Datuk Mahfuz Omar di sini, malam ini.

Dr Mohammed Azman berkata, beliau berharap tindakan kompaun berkenaan dapat membuka mata pemandu e-hailing supaya mencarum dengan PERKESO demi kebajikan dan masa depan isteri, anak dan waris mereka.

“Malah, hari ini kita dapat lihat ramai anak yatim dan balu pencarum PERKESO yang mendapat manfaat serta meneruskan hidup dengan bantuan dan faedah daripada caruman dibuat ibu bapa mereka sebelum meninggal dunia.

“Dengan ada caruman PERKESO, masa depan keluarga dan waris pekerja di Malaysia lebih terjamin dan terjaga,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Kulasegaran berkata, kerajaan menerusi PERKESO bakal memperluaskan Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) kepada golongan petani, nelayan, penjaja dan penggiat seni bagi memastikan semua pekerja termasuk yang tidak mempunyai majikan, mendapat perlindungan sewajarnya jika berlaku musibah atau kemalangan pekerjaan.

Katanya, sebelum ini PERKESO memperluaskan skim berkenaan kepada golongan pemandu bas yang bekerja sendiri termasuk bas sekolah, bas kilang dan bas persiaran.

Katanya, perluasan berkenaan dijangka memberikan manfaat perlindungan keselamatan sosial kepada lebih 40,000 pemandu bas di seluruh negara.

Berita Harian X