Rabu, 15 Mei 2019 | 8:12pm
PENGARAH Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat menyampaikan bantuan kepada Imam Besar Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, Bambang Eirman Bahudin (dua dari kanan) dan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komissioner Zulkifli Adamshah (kiri) pada Program Bantuan Ramadan dan Raya TH-Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2019 di Sepang, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PENGARAH Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat menyampaikan bantuan kepada Imam Besar Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, Bambang Eirman Bahudin (dua dari kanan) dan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komissioner Zulkifli Adamshah (kiri) pada Program Bantuan Ramadan dan Raya TH-Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2019 di Sepang, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

TH yakin prestasi kewangan lebih kukuh tahun ini

SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) yakin akan mencapai prestasi kewangan yang lebih kukuh pada tahun ini, sekali gus mampu membayar hibah yang lebih tinggi kepada pendepositnya berbanding 1.25 peratus bagi tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata matlamat itu mampu dicapai melalui amalan pelaburan yang lebih berhemah yang dilaksanakan TH, selain disokong langkah penambahbaikan tadbir urus serta kawal selia yang baik.

“Selepas pelan penstrukturan dan pemulihan berjaya dilaksanakan pada akhir tahun Ialu, TH kini kembali kepada kedudukan kewangan yang kukuh. Ini dapat dilihat menerusi prestasi kewangan suku pertama, Januari sehingga Mac lalu yang mampan.

“Seperti yang diumumkan beberapa hari lalu, pada hujung suku pertama, jumlah lebihan aset berbanding liabiliti yang dimiliki TH meningkat kepada RM1.2 bilion, selain memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta bagi tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Bantuan Ramadan dan Raya TH-Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2019 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada TH dijangka akan menambah subsidi menunaikan haji jika prestasi kewangan terus meningkat, Zukri berkata, kos menunaikan haji semakin bertambah setiap tahun.

“Pada musim haji tahun ini, TH menanggung subsidi sebanyak RM12,920 bagi seorang jemaah, dengan jangkaan keseluruhan subsidi berjumlah RM400 juta.

“Jika kos mengerjakan haji tahun depan meningkat dan kita masih mengekalkan bayaran RM9,980 oleh seorang jemaah, maka kos yang ditanggung TH akan meningkat. Sama ada boleh (menambah subsidi), ia bergantung kepada prestasi kewangan TH,” katanya.

Sementara itu, Zukri berkata, buat pertama kalinya, TH akan menyediakan khemah berhawa dingin di Arafah untuk jemaah berikutan suhu panas yang dijangka memuncak pada musim haji tahun ini.

“Sebelum ini, kita sediakan khemah dengan penyaman udara saja. Disebabkan kemuncak musim panas di Arab Saudi, kita mengambil inisiatif membekalkan pendingin hawa di setiap khemah jemaah untuk memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 500 keluarga asnaf di sekitar Sepang menerima sumbangan berjumlah RM1.3 juta.

Berita Harian X