Jumaat, 26 April 2019 | 2:46pm
MASZLEE melawat pameran diruang pameran selepas Majlis Penjenamaan Semula Kolej Komuniti, di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir
MASZLEE melawat pameran diruang pameran selepas Majlis Penjenamaan Semula Kolej Komuniti, di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

3 inisiatif baharu kukuhkan pembangunan Kolej Komuniti

PUTRAJAYA: Tiga inisiatif baharu diperkenalkan bagi memperkukuh pembangunan Kolej Komuniti, sekali gus menjadi jenama unggul bawah Kementerian Pendidikan.

Inisiatif berkenaan ialah Program ACES, Maker Market dan Pondok Perdana yang dilaksanakan melalui kerjasama dengan rakan strategik.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Program ACES terbuka dalam bentuk empat laluan baharu, iaitu Apprenticeship (Perantis), Professional Certification (Pensijilan Profesional), Entrepreneurship (Keusahawanan) dan Sijil Kolej Komuniti (Persediaan).

“Saya percaya melalui empat laluan baharu ini, konsep ‘Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) For All’ dapat dihayati serta direalisasikan di Kolej Komuniti yang sudah diangkat menjadi hab pembelajaran sepanjang hayat sebagaimana dipertanggungjawabkan melalui Memorandum Jemaah Menteri pada 2005,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif terbabit, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, serta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Maszlee berkata, inisiatif Maker Market pula adalah ruang kerja kolaboratif di Kolej Komuniti yang membolehkan pengguna belajar melalui reka cipta dan berkolaborasi dengan komuniti serta industri.

“Maker Market akan menjadi pusat penganjuran pertandingan bercirikan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

“Ia juga terbuka untuk dikunjungi semua lapisan masyarakat sebagai platform berkongsi idea, meneroka ilmu dan kemahiran baharu serta menghasilkan reka cipta dan inovasi,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata, inisiatif Pondok Perdana bertujuan memperkasakan dan menambah nilai set kemahiran pelajar pondok melalui program lebih tersusun serta berstruktur.

“Bagi tujuan itu, Pertubuhan Pondok Perdana, iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang menjalankan program di institusi dinamakan Pondok Perdana, sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Kolej Komuniti sebagai pembekal program kemahiran peringkat sijil dan diploma kepada pelajar mereka,” katanya.

Maszlee berkata, langkah penambahbaikan dan peningkatan mutu pendidikan melalui Kolej Komuniti akan terus dilaksana bagi memastikan ia kekal relevan kepada masyarakat dalam mendepani cabaran Industri 4.0.

Berita Harian X