Jumaat, 19 April 2019 | 6:40pm
MOHAMAD Sabu. - Foto Saifullizan Tamadi
MOHAMAD Sabu. - Foto Saifullizan Tamadi

Kementerian Pertahanan garis 6 pencapaian di bawah PH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menggariskan enam pencapaian yang berjaya dilakukan sepanjang tempoh satu tahun di bawah teraju kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata tempoh setahun pertama itu baginya cukup mencabar dengan tumpuan terarah kepada pemulihan tadbir urus termasuk beberapa agensi di bawah kementerian itu, disamping memastikan aspek kebajikan warga veteran diberi perhatian.

Beliau berkata, isu tadbir urus kementeriannya antara perkara awal diberi tumpuan dengan penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang.

“Selepas banyak kebimbangan disuarakan oleh pembangkang terdahulu serta rakyat, maka siasatan dimulakan dan selepas enam bulan, siasatannya sudah siap iaitu berkaitan ‘land swap’ baharu, bukan semua (tanah).

“Ia sudah pun dibincang di peringkat Kabinet dan jawatankuasa dipengerusikan Tan Sri Abu Kasim Mohamed, di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC). Kabinet bersetuju supaya laporan itu diedar kepada orang ramai tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.

Mohamad berkata, perkara berikutnya adalah berkaitan pembelian aset pertahanan yang dibuat menerusi keperluan dan bukan kepentingan ahli politik dan pihak tertentu.

Seterusnya, kata beliau, adalah Kertas Putih Pertahanan, yang dalam proses rangkuman laporan selepas mendapat pandangan dan idea daripada pelbagai pihak termasuk cendekiawan, pakar dan pemain industri pertahanan.

“Kita akan bentang dalam Parlimen (laporan Kertas Putih) pada bulan Oktober. Sekarang ini di peringkat akhir tempoh itu dan kertas putih ini adalah yang pertama di buat Malaysia.

“Sebelum ini ada dasar pertahanan negara. Ini kali pertama dan ia juga sudah berlaku di negara lain seperti Jepun, Australia, New Zealand serta Brunei,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kertas putih antara lain akan memberi fokus kepada usaha pengupayaan aset pertahanan kepada operasi bencana alam termasuk yang berlaku di negara jiran seperti Indonesia.

“Ia umpama seperti Jepun. Jepun ini dia tidak boleh berperang dengan negara luar tapi bajet pertahanannya tinggi terutama dalam menghadapi bencana. Hal ini kita ambil berat sebab mutakhir ini soal bencana, kadang-kadang berlaku di luar daripada agakan (unjuran) kita.

“Misalnya tahun lalu, gempa bumi dan banjir berlaku di Indonesia. Bila berlaku di ASEAN kita kena bantu dan aset ke arah itu mesti kita bina. Dalam kertas putih kita akan membangkitkan hal dalam menghadapi bencana,” katanya.

Turut dilakukan sepanjang tempoh setahun, kata beliau, adalah keputusan supaya pengurniaan pangkat kehormat dan pemakaian seragam dalam kalangan ahli politik dan selebriti dihentikan.

“Ia mendapat sokongan. Lawatan saya menemui Majlis Raja-Raja (MRR) dan sultan yang menjadi penaung kepada berbagai cabang angkatan tentera, mereka mengalu-alukan kerana penganugerahan ini boleh disalahgunakan.

“Sekarang ini kalau mahu pakai pangkat dan sebagainya dalam kalangan orang awam, ...boleh tapi mereka hendaklah menyertai latihan seperti latihan Askar Wataniah, bukan dianugerah kepada orang politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya berjaya mengaktifkan Majlis Veteran Kebangsaan yang ditubuhkan pada 2012 selain membuat keputusan menarik semula pembabitan anggota tentera Malaysia dalam aktiviti ketenteraan susulan konflik antara Arab Saudi dan Yaman.

“Kita mahu berbaik dengan semua negara kecuali Israel. Malaysia bersedia untuk dipertimbangkan menghantar tentera keluar negara diatas kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hantar tentera ke Arab Saudi ini bukan kehendak PBB.

“Kita minta OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan badan antarabangsa mencari jalan bagaimana mahu menyelesaikan krisis yang berlaku antara Arab Saudi dan Yaman,” katanya.

Berita Harian X