Isnin, 8 April 2019 | 11:29am
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat. - Foto Aizuddin Saad
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat. - Foto Aizuddin Saad

Tiada pengeluaran luar biasa oleh pendeposit

KUALA LUMPUR: Tiada pengeluaran wang secara besar-besaran atau dalam kadar luar biasa dari akaun pendeposit di semua cawangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata berita di media sosial yang mendakwa ramai pendeposit bertindak mengeluarkan simpanan mereka dari akaun TH kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian hibah 1.25% untuk 2018 hanya khabar angin.

“Cawangan kami melaporkan urusan seperti biasa dan dimaklumkan bahawa cawangan-cawangan kami juga menerima caruman deposit baru.

“Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin yang tular di media sosial sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zukri berkata, TH akan membuat laporan polis jika ada lagi sebarang khabar angin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bertujuan untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.

“TH ingin memberi jaminan kepada pendeposit bahawa bukan sahaja wang mereka selamat, tetapi kami komited menjana pendapatan yang mampan untuk mengoptimumkan pulangan mereka, sambil menumpukan kepada mandat kami untuk membantu umat Islam menyimpan dan mempersiapkan diri untuk urusan haji mereka,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, dipetik sebagai berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

“Dalam menzahirkan komitmen ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM500 juta pada 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion. Ini kesan daripada kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran yang lalu.

“Manipulasi akaun membolehkan hibah diisytihar pada kadar yang tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat. Kerajaan terus komited dalam memastikan ketelusan dalam operasi dan kedudukan kewangan TH pada masa depan,” katanya ketika Pengumuman Hibah bagi Tahun 2018 di sini, Jumaat lalu.

Berita Harian X