Jumaat, 5 April 2019 | 7:41pm
LEMBAGA Tabung Haji (TH).
LEMBAGA Tabung Haji (TH).

TH tak jangka berlaku 'bank run' susulan kadar hibah rendah

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menjangkakan akan berlaku situasi ‘bank run’ iaitu pendeposit mengeluarkan simpanan beramai-ramai pada satu masa, berikutan pengumuman kadar hibah bagi tahun kewangan berakhir 2018 yang terendah dalam sejarah pengurus dana haji itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata setakat ini pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati kadar pengeluaran oleh penyimpannya adalah normal.

Katanya, malah biarpun terdapat ura-ura sejak dari semalam mengatakan yang TH mungkin akan memberi pulangan yang rendah, tetapi tiada pengeluaran simpanan besar-besaran dilakukan sehingga kini.

“Namun, jika berlaku (bank run) ini, kami sudah bersedia dan mempunyai dana yang mencukupi bagi memenuhi permintaan ahli kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat prestasi TH dan pengumuman hibah 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Timbalannya, Fuziah Salleh.

Terdahulu, Mujahid mengumumkan agihan hibah kepada 9.3 juta pendepositnya sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta.

TH juga berjaya melaksanakan penstrukturan semula kedudukan kewangannya dan mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Berita Harian X