Selasa, 19 March 2019 | 11:56am
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri bersama ahli ahli UMNO serta PAS keluar meninggalkan Persidangan Dewan Rakyat berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri bersama ahli ahli UMNO serta PAS keluar meninggalkan Persidangan Dewan Rakyat berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Noh diperintah keluar Dewan Rakyat tiga hari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjung Karang dari Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar diperintah keluar Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini.

Ini berikutan tindakannya menuduh Timbalan Yang Dipertua, Nga Kor Ming tidak layak mempengerusikan majlis mesyuarat ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja, semalam.

Keputusan dibuat Kor Ming mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan 43 dan 44 yang menyifatkan perbuatan Noh itu sebagai menghina mesyuarat Dewan dan institusi Speaker Dewan Rakyat secara terbuka.

“Sebagai Speaker, tugas saya bukan sahaja mempengerusikan dewan ini dengan adil, saksama dan amanah. Tanggungjawab sebagai Speaker menghendaki saya menjaga, membela imej dan kewibawaan institusi Parlimen.

“Berdasarkan sikap Tanjung Karang yang tidak senonoh dan sengaja melakukan perbuatan menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, dengan tohmahan yang dilempar menuduh pengerusi mesyuarat tidak layak memegang jawatan adalah perbuatan menghina majlis mesyuarat atau 'an open insult to the chair'

“Saya dengan ini memerintah Tanjung Karang keluar dari majlis mesyuarat selama tiga hari,” katanya.

Nga turut menyarankan Ahli Parlimen Tanjung Karang serta Ahli Parlimen lain mengambil iktibar serta tidak mengulangi kelakuan seperti itu selain menjaga tertib dalam majlis mesyuarat.

“Ketika perbahasan titah diraja oleh Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari daripada PAS) semalam, Tanjung Karang (Noh) tanpa kebenaran Yang Dipertua melemparkan tuduhan kepada institusi Speaker.

“Tanjung Karang menuduh pengerusi mesyuarat tidak layak menjadi Speaker walaupun saya sudah memberi penjelasan dan beliau dikehendaki merujuk kepada hansard,” katanya ketika membaca perutusan Speaker sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

Noh belum berada dalam Dewan ketika keputusan itu diumumkan.

Sejurus Kor Ming membaca perutusan Speaker itu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) bangun dan merayu supaya Noh diberi peluang membuat penjelasan dan memohon maaf serta menarik balik tuduhannya seperti amalan Dewan selama ini.

Bagaimanapun, Kor Ming tidak berganjak dengan keputusannya, malah menegur Noh yang belum berada dalam Dewan dan mengingatkan Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Susulan itu, Ismail dan ahli Parlimen pembangkang termasuk beberapa wakil PAS keluar meninggalkan Dewan sebagai tanda protes.

Semalam, Noh ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja, meminta penjelasan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak, sama ada benar media sosial memutar belit kenyataannya apabila mengaitkan kerjasama UMNO dan PAS dengan Taliban.

Kor Ming bagaimanapun meminta Noh merujuk kepada hansard Dewan Rakyat kerana beliau sudah membuat penjelasan mengenainya pada persidangan minggu lalu.

Sementara itu, ahli Parlimen pembangkang bercadang membuat usul membantah keputusan Kor Ming terhadap Noh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya akan mengkaji Peraturan Mesyuarat yang membenarkan usul seperti itu dilaksanakan.

Berita Harian X