Isnin, 11 Februari 2019 | 2:25pm
ABANG Johari dan Shukri Abdull (kiri) merasmikan Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 di Penview Convention Centre (PCC), Demak, Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
ABANG Johari dan Shukri Abdull (kiri) merasmikan Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 di Penview Convention Centre (PCC), Demak, Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

Ketua perasuah, anak buah juga boleh rasuah - Abang Jo

SANTUBONG: Amalan merasionalisasikan perbuatan rasuah disifatkan perbuatan ‘berjangkit’ yang perlu ditentang habis-habisan bagi menjamin terbentuknya pentadbiran berintegriti tinggi di peringkat kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sekiranya ketua organisasi mengamalkan rasuah, maka anak-anak buahnya akan menjadikan perbuatan terkutuk ketuanya itu sebagai merasionalkan perbuatan keji mereka untuk menyeleweng.

“Begitu juga sebaliknya. Pemimpin atau ketua yang mempunyai integriti akan mempengaruhi anak-anak buahnya untuk turut sama berintegriti. Oleh itu, di bahu masing-masing terletak tanggungjawab membentuk, selain membudayakan integriti.

“Nilai integriti paling tinggi disebut sebagai ihsan iaitu mengamalkan nilai murni setiap masa dan di mana jua berada dengan merasakan bahawa setiap detik kehidupan sentiasa diperhati dan dipantau Sang Pencipta,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019, di Pusat Konvensyen Penview (PCC0, di Demak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Syukri Abdull.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata pelabur tempatan dan asing lebih berminat melabur di negara yang mempunyai ekonomi stabil, selain membabitkan faktor kecekapan kos termasuk masalah rasuah berada pada tahap rendah.

“Tidak terkecuali anggota swasta yang meliputi syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) juga mestilah tidak mengamalkan amalan berurus niaga dengan apa cara sekali pun asalkan syarikat mendapat untung,” katanya.

Katanya, demi memastikan pentadbiran awam negeri menerapkan amalan integriti tinggi, kerajaan negeri mahu menubuhkan unit integriti di semua agensi kerajaan negeri.

“Malah, kerajaan negeri akan menempatkan seorang pegawai SPRM di Unit Integriti dan Ombudsman untuk membantu kita dalam membudayakan amalan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam badan-badan berkanun negeri,” katanya.

Katanya, seramai 40 pegawai kerajaan negeri dipilih menjalani Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dengan kerjasama SPRM untuk ditempatkan di semua kementerian dan jabatan kerajaan negeri.

Berita Harian X