Selasa, 15 Januari 2019 | 1:53pm

TH tetap bayar hibah berdasarkan prestasi kewangan

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kumpulan itu mampu memberi hibah atau dividen pada 2018 kepada 9.3 juta pendepositnya.

Namun, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, mengingatkan pendeposit supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

“Jumlah hibah itu akan bergantung kepada prestasi kewangan TH. Jangan letak harapan yang tinggi,” katanya pada sidang media di Menara Tabung Haji di sini hari ini.

Zukri berkata, kumpulan TH hari ini semakin pulih selepas selesai memindahkan 106 ekuiti yang tidak berprestasi balik kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd setakat 30 Disember 2018.

Pada 11 Disember lalu, beliau mengumumkan TH akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV bagi memperbaiki kedudukan kewangannya.

Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan, yang kemudiannya akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion.

Isu berkaitan TH tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mendedahkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995, menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Zukri Samat mengingatkan pendeposit supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. - NSTP/Sairien Nafis
Zukri Samat mengingatkan pendeposit supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. - NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X