Rabu, 12 Disember 2018 | 6:54pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, Seksyen 15. - Foto Roslin Mat Tahir
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, Seksyen 15. - Foto Roslin Mat Tahir

Tak wajar keluarkan duit TH simpan di bank lain - Abdul Hadi

SHAH ALAM: Tindakan pendeposit Tabung Haji (TH) mengeluarkan simpanan mereka dan menyimpan di bank lain dianggap tidak wajar susulan dakwaan pemberian hibah kepada pendepositnya sejak 2014 bercanggah Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ketika ini tindakan paling utama yang perlu dilakukan adalah memperbaiki TH.

“Jangan disebabkan seekor nyamuk, kita bakar kelambu. TH ini menariknya adalah hasil buah fikiran seseorang yang kita kena hargai.

“Kalau ia silap, kita perbetulkan. Itu tanggungjawab kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bicara Minda anjuran Karangkraf, di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan memperkenalkan kewangan Islam yang lebih tertumpu kepada kebajikan jemaah haji dan tidak hanya tertumpu pada aspek ekonomi saja.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, dilaporkan berkata Lembaga Tabung Haji (TH) akan diletakkan bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Katanya, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Ia susulan dakwaan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Berita Harian X