Isnin, 5 November 2018 | 4:00pm
SHAMSUBAHRIN Ismail. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
SHAMSUBAHRIN Ismail. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

'Bertemu atau kami berhimpun'

KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 pemandu teksi seluruh negara bakal menyertai perhimpunan aman di bangunan Parlimen, Khamis ini bagi mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar bertemu dengan mereka.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, berkata pemandu teksi akan berarak dari Padang Merbok bermula jam 8 pagi.

Beliau perhimpunan itu adalah jalan terakhir jika mereka masih gagal untuk bertemu menteri.

“Kita tidak mahu berbincang dengan setiausaha politik atau mana-mana pegawai dari kementerian itu.

“Sekarang, setiausaha politik menteri pun sudah tak dapat dihubungi, dia tak angkat panggilan,” katanya pada sidang media di Wisma Central, di sini, hari ini.

Shamsubahrin berkata, pemandu teksi ingin berjumpa menteri secara harmoni bagi membincangkan hala tuju industri perkhidmatan teksi.

Beliau turut menegaskan, persatuan teksi tidak meminta kerajaan menghapuskan Grab atau pemandu kereta persendirian (e-hailing) tetapi ia hendaklah disamaratakan dari segi harga yang dikawal kerajaan.

“Pemandu teksi sudah menggunakan e-hailing yang pertama di Malaysia iaitu MyTeksi sebelum kewujudan Uber dan Grab.

“Jangan memutar belitkan kata-kata pemandu teksi kerana kami tidak minta Grab diharamkan sebaliknya kerajaan perlu kawal harga tambang Grab sepertimana teksi mengikut syarat pemandu teksi.

“Sekiranya kerajaan tidak boleh menguatkuasakan garis panduan itu, Grab dan seangkatannya perlu ditutup,” katanya.

Pada masa yang sama, Shamsubahrin turut meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin meluluskan permohonan pemandu teksi yang memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, pemandu teksi kini semakin sukar menjana pendapatan, justeru bantuan rumah PPR yang dibayar RM124 sebulan dilihat mampu mengurangkan beban pemandu teksi sekeluarga.

Berita Harian X