X
Sabtu, 3 November 2018 | 10:46am
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto BERNAMA

MARA peruntukkan RM2 bilion bagi pengajian tinggi 2019

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion tahun hadapan bagi membiayai penuntut tajaannya yang melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah pembiayaan berkenaan adalah sama dengan jumlah tahun ini.

“Dari segi pendidikan, penyelarasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan belanjawan yang kita dapat Alhamdulillah kita dapat seperti apa yang telah kita pohon. Itu akan menambahkan lagi mutu produk MARA,” katanya pada Bernama di Majlis Malam Apresiasi Mara 2018, di sini malam ini.

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pesara dan warga kerja MARA yang sudah berkhidmat antara 25 hingga 40 tahun.

Terdahulu Rina dalam ucapannya berkata, MARA juga membelanjakan RM3.3 juta sehingga bulan Ogos tahun ini untuk pembiayaan kesihatan warga, anggota keluarga dan pesara MARA.

Kata Rina, ia jelas menunjukkan MARA sangat mengambil berat mengenai hal kebajikan warganya termasuk golongan pesara dan anggota keluarga mereka.

“Kemudahan kebajikan yang dinikmati ini adalah kerana MARA sebagai majikan sangat menghargai komitmen dan dedikasi tuan-tuan dan puan-puan yang sudah bersama-sama memikul tanggungjawab dalam melaksanakan dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X