Selasa, 7 Ogos 2018 | 12:42pm

Ahli Parlimen PH wajib isytihar harta

IPOH: Semua Menteri Kabinet, anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) wajib mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh 3 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata penambahbaikan ke atas pengisytiharan harta itu dibuat melalui persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

“JKKMAR mengadakan mesyuarat setiap bulan dan ada beberapa perkara sudah diputuskan dalam mesyuarat berkenaan dan satu daripadanya JKKMAR bersetuju supaya pengisytiharan harta membabitkan anggota Kabinet, pegawai pentadbiran dan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas mereka mengangkat sumpah.

“Dulu, ia hanya dibuat di peringkat Pusat dan (salinan pengisytiharan harta) hanya diserahkan kepada Perdana Menteri, manakala di peringkat negeri diserahkan kepada Menteri Besar, tetapi dengan persetujuan sekarang semua pengisytiharan harta yang dibuat anggota pentadbiran kerajaan sama ada negeri atau Persekutuan akan diserahkan salinannya kepada SPRM.

“Kerajaan juga bersetuju bahawa pengisytiharan harta itu juga akan dimuat naik melalui laman portal SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi ADUN dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri di Dewan Bankuet Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.

Majlis lafaz IBR itu diketuai Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

JKKMAR ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti Rasuah Nasional yang akan digubal kelak.

Shamsun Baharin berkata, SPRM juga sudah mengemukakan syor kepada JKKMAR mengenai pengisytiharan penerimaan hadiah oleh anggota pentadbiran PH bagi menggalakkan penerapan tadbir urus yang telus, berintegriti dan profesional di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Beliau berkata, Perak adalah negeri kedua selepas Melaka melaksanakan IBR dan pujian harus diberikan kepada barisan kepemimpinan pentadbiran kerajaan negeri kerana menyahut seruan dan usaha pencegahan rasuah kerajaan Persekutuan kerana menyatakan komitmen mereka dalam memperkasakan tadbir urus negeri dan memupuk budaya integriti.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, IBR dalam kalangan ADUN dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Kerajaan Negeri itu adalah satu titik permulaan kepada kerajaan negeri Perak dalam menunaikan janji dan PH mewujudkan kerajaan yang lebih telus.

Beliau berkata, selepas melaksanakan IBR, kerajaan negeri juga akan mewajibkan semua ADUN dan pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

“Setakat ini pengisytiharan harta oleh Ahli EXCO kerajaan negeri sudah pun dilaksanakan dan ia sudah diserahkan kepada saya.

“Maklumat berkenaan juga akan dipanjangkan untuk dilaksanakan kepada semua pentadbiran syarikat milik kerajaan atau berkaitan kerajaan dan ia juga sudah saya arahkan untuk dilaksanakan serta merta,” katanya.

MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (kiri) mengetuai bacaan ikrar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Kerajaan) dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Muhaizan Yahya
MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (kiri) mengetuai bacaan ikrar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Kerajaan) dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X