X
Khamis, 2 Ogos 2018 | 1:20pm
DZULKEFLY Ahmad
DZULKEFLY Ahmad

Kerajaan tumpu lahir pakar perubatan kesihatan utama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap memberi fokus terhadap usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam penjagaan kesihatan utama, seiring kepentingan memastikan perubatan pencegahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia sejajar matlamat membina kekuatan pada pakar perubatan negara dalam bidang rawatan keluarga yang menjadi keutamaan kerajaan.

"Kita akan memberi peruntukan lebih kepada rawatan penjagaan utama atau perubatan pencegahan kerana ia amat diperlukan dalam amalan perubatan keluarga.

"Pakar kelompok ini memiliki Sarjana Perubatan Keluarga (FMS) seperti Ahli Kolej Diraja Pengamal Perubatan Awam (MRCGP).

"Kerajaan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan perubatan berkualiti, mampu belanja dan selamat," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-UMNO Kota Tinggi) sama ada kementerian akan meningkatkan penggunaan aplikasi dan teknologi kesihatan terkini untuk mengatasi masalah kekurangan doktor pakar.

Dr Dzulkefly berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan aspek penggunaan teknologi kesihatan, namun bergantung pada bidang dan jenis penyakit, khasnya kanser.

"Kementerian akan membuat pelaburan bagi penggunaan teknologi kesihatan dan yang terkini dikenal pasti ialah teknologi mengesan kanser," katanya.

Bagi meningkatkan bilangan pakar perubatan, beliau berkata, pelbagai langkah termasuk meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan dan menggalak pegawai perubatan menjalani latihan kepakaran mengikut bidang masing-masing.

"Ia termasuk melantik semula doktor pakar tamat kontrak atau bersara wajib untuk kembali berkhidmat dengan kementerian, mendapatkan perkhidmatan pakar pihak swasta dan menggalak pakar di luar negara pulang," katanya.

Berita Harian X