X
Isnin, 16 Julai 2018 | 12:23pm
SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mulai bertugas pada Majlis Angkat Sumpah dan Persidangan Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mulai bertugas pada Majlis Angkat Sumpah dan Persidangan Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Mohamad Ariff ikrar tingkat wibawa Parlimen

KUALA LUMPUR: Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menyifatkan pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu sebagai satu tanggungjawab yang cukup besar.

Justeru, beliau berikrar untuk berusaha sedaya upaya dalam memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Pada masa sama, beliau juga janji akan cuba menunaikan tugas dengan saksama.

"Saya akan berusaha melaksanakan tugas saya dengan sepenuh hati dan bebas daripada pengaruh luar untuk memelihara martabat serta maruah dewan yang mulia ini.

"Saya juga akan bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan yang berhormat sekalian berusaha ke arah meningkatkan lagi wibawa institusi Parlimen negara kita supaya budaya demokrasi berparlimen negara kita bertambah berkesan, adil dan saksama.

"Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan yang tertinggi untuk menentukan undang-undang negara yang bertujuan memberi manfaat terbesar kepada seluruh warganegara Malaysia kerana ia mempunyai wibawanya sendiri dan melengkapkan cabang-cabang pemerintahan yang lain," katanya ketika berucap sebaik dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Ariff turut menyentuh peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan yang bebas mestilah dihayati sebaiknya termasuk usaha-usaha pembaikan.

Katanya, usaha itu termasuk penarafan proses penggubalan undang-undang mesti berterusan supaya Parlimen terus dihormati serta disegani lapisan masyarakat.

"Saya yakin ahli-ahli Yang Berhormat sekalian seperti mana ahli-ahli terdahulu akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti yang dituntut keluhuran institusi ini.

"Dengan cara berbahas secara saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam rangka demokrasi berparlimen. Saya percaya tutur kata dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan memastikan kita mampu capai matlamat tinggi dewan ini.

"Mudah-mudahan usaha kita semua akan menerima berkat daripada yang maha esa dan Dewan Rakyat ini menjadi kebanggaan negara dan lambat ketinggian ketamadunan kita," katanya.

Berita Harian X