Ahad, 8 Julai 2018 | 6:56pm
RIAD Asmat (empat dari kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada Farahida Mohd Farid (tengah) pada majlis penyerahan cek RM 300,300 daripada AirAsia kepada Majlis Kenser Nasional (MAKNA) di IOI City Mall Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
RIAD Asmat (empat dari kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada Farahida Mohd Farid (tengah) pada majlis penyerahan cek RM 300,300 daripada AirAsia kepada Majlis Kenser Nasional (MAKNA) di IOI City Mall Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

AirAsia kumpul RM300,300 untuk bantu pesakit kanser

PUTRAJAYA: AirAsia Berhad (AirAsia) hari ini berjaya mengumpul RM300,300 melalui kempen #AirAsiaMAKNA bagi membantu pesakit kanser mendapatkan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata tahun ini adalah tahun ketiga kempen itu dilaksanakan AirAsia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bertujuan memupuk kesedaran orang awam terhadap penyakit itu, serta menyokong perjuangan pesakit kanser.

"Jumlah ini adalah hasil jualan amal baju T edisi terhad rekaan juruterbang dan kru kabin.

"Sejak 2015, kempen ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta bagi membantu pejuang kanser yang kurang bernasib baik di negara ini," katanya ketika berucap pada program #AirAsiaMAKNA: The Big Fight Fiesta di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail dan Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid di sini, hari ini.

Selain itu katanya, program kesetiaan AirAsia, AirAsia BIG Loyalty turut menyerahkan dua juta mata Mata Ganjaran AirAsia kepada MAKNA bagi membantu pesakit kanser dari segi pilihan perjalanan.

Sementara itu, Farahida berkata, kempen berkenaan bukan hanya untuk mengumpul dana semata-mata tetapi membantu menyelamatkan dan memberikan impak positif kepada pejuang kanser.

"Terima kasih AirAsia kerana menjadikan misi kami sebagai misi anda juga. Ini adalah satu penghormatan bagi kami," katanya.

Sempena kempen itu juga, AirAsia turut menawarkan diskaun 20 peratus untuk semua penerbangan bagi tempahan yang dibuat melalui aplikasi mudah alih AirAsia dengan menggunakan kod promosi MAKNA20, dari 8 hingga 10 Julai 2018 bagi perjalanan antara 1 Ogos dan 22 November 2018.

Berita Harian X