Khamis, 21 Jun 2018 | 6:03pm
MENTERI Pendidikan Dr. Maszlee Malik ketika sidang media mengenai Penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET dan Program iCGPA di Universiti Awam di Kementerian Pengajian Tinggi. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan Dr. Maszlee Malik ketika sidang media mengenai Penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET dan Program iCGPA di Universiti Awam di Kementerian Pengajian Tinggi. - Foto BERNAMA

UA diberi pilihan laksana iCGPA

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa semalam, sistem Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) tidak lagi wajib dilaksanakan di universiti awam (UA) di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati sejak pelaksanaan iCGPA, tumpuan pensyarah beralih daripada tugas utama mereka iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat untuk masyarakat.

Beliau berkata, kementeriannya mendapat maklum balas berhubung perkara itu melalui beberapa sesi perkongsian dan kajian semula terhadap sistem berkenaan bersama kakitangan akademik serta pelajar di UA yang sedang melaksanakannya dan pihak industri serta badan profesional yang berkenaan.

"Demi semangat memberi kebebasan dan autonomi kepada universiti, UA dibenarkan memilih sama ada meneruskan atau menghentikan pelaksanaan program iCGPA di universiti masing-masing.

"Jika pihak universiti mahu meneruskan program itu, keputusan perlu dibuat selepas mencapai konsensus bersama kakitangan akademik melalui sesi perbincangan dan rundingan dengan mereka.

"Bagaimanapun, jika UA mahu menghentikan iCGPA, dana lebihan daripada pemberhentian program itu akan disalurkan kepada perpustakaan supaya universiti dapat melanggan jurnal antarabangsa bermutu, sekali gus menggalakkan usaha penyelidikan dan penulisan ilmiah yang berkualiti tinggi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

iCGPA adalah satu sistem penggredan bersepadu untuk menilai dan melaporkan prestasi akademik pelajar serta kemahiran profesional diperoleh sepanjang pengajian mereka di universiti.

iCGPA menggunakan pendekatan holistik dengan menilai prestasi pelajar bagi lapan domain hasil pembelajaran seperti pengetahuan; kemahiran psikomotor; kemahiran dan tanggungjawab sosial; nilai, sikap dan profesionalisme; kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan; kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran saintifik; kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; serta kemahiran mengurus dan keusahawanan.

Selain itu, Maszlee berkata, pensyarah tidak lagi dibenar diberi tanggungjawab menambah sumber kewangan universiti dan tugas itu harus dilaksanakan bahagian kewangan universiti.

"Jika mereka yang dilantik gagal menjana kewangan universiti, mereka perlu ditukarkan dengan orang yang lebih layak dan mampu menjalankan tugas itu," katanya.

Maszlee berkata, kementeriannya juga menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, jawatankuasa itu berperanan menyediakan laporan untuk memperkasa dan menaik taraf TVET, malah kerajaan komited membangunkan aliran itu setanding dengan Australia dan Jerman.

Sementara itu, Maszlee berkata, beliau juga sudah meminta Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti yang mempunyai rekod tidak sehaluan dengan kerajaan baharu supaya berundur secara terhormat, manakala mereka yang sudah hampir tamat tempoh perkhidmatan tidak akan dilantik semula.

"Saya sendiri sudah bertemu mereka secara tertutup dan menyampaikan hasrat Kabinet bahawa kita mahu mereka lakukannya secara sukarela. Kita tidak mahu orang bermuka-muka," katanya.

Beliau turut memberi jaminan lantikan untuk dua jawatan itu selepas ini akan bebas daripada pengaruh politik dan pemilihan dibuat berdasarkan saranan universiti serta calon perlu ditemuduga.

Ditanya sama ada cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dibawa ke Parlimen pada bulan depan, Maszlee berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan janji 100 hari dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) terlebih dulu membabitkan kepentingan rakyat keseluruhan.

Berita Harian X