Rabu, 6 Jun 2018 | 6:48pm
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. - Foto Yazit Razali
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. - Foto Yazit Razali

Ambrin dilantik Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan, Kewangan

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Ambrin akan ditugaskan bagi meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara.

"Beliau (Ambrin) akan menggerakkan jawatankuasa ini dan siasatan akan bermula dengan Kementerian Pertahanan," katanya.

Ambrin pernah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara selama 11 tahun bermula Februari 2006 sebelum bersara pada Februari 2017.

Dalam pada itu, Dr Mahathir pada sidang media sama berkata, mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan untuk mewujudkan satu mekanisme pinjaman bagi memudahkan golongan muda membuat pembelian rumah pertama.

"Kami mendapati terdapat syarat ketat yang dikenakan oleh bank untuk rakyat membuat pinjaman.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji kaedah untuk mengurangkan kos perumahan dan ia akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Berhubung kaji selidik terhadap kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah pula, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengkaji isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak miskin bandar termasuk di Putrajaya.

Selain itu, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan akan mengkaji opsyen perluasan Skim Peduli Sihat Nasional ke seluruh negara dalam usaha menyediakan perlindungan takaful kepada rakyat berpendapatan rendah.

Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor menawarkan pembiayaan RM500 untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India akan diadakan dalam masa terdekat bagi menangani isu-isu masyarakat itu.

Berita Harian X