Jumaat, 1 Jun 2018 | 4:42pm
FELO Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor. - Foto Rosela Ismail
FELO Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor. - Foto Rosela Ismail

Jangan kekang pemikiran cendekiawan

BANGI: Golongan cendekiawan tidak wajar terlalu dikongkong hingga boleh menghapuskan prinsip semak dan imbang di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor, berkata kongkongan akan menyebabkan mereka takut menulis dan berbahas kerana bimbang kedudukan serta kerjaya terjejas.

"Kita bahas atau tulis bukan sebab mahu memburukkan suasana yang lalu (kerajaan) kerana kita perlu belajar daripada sejarah.

"Kita (ahli akademik) buat kaji selidik mengenai kehancuran parti politik di Taiwan dan India. Perkara sama berlaku di negara ini apabila ada orang kena tukar, diberhentikan kerja, dikritik veteran parti dan ahli Kabinet lari.

"Jika kerajaan sekarang tidak mengamalkan keterbukaan, mereka akan menjadi seperti kerajaan sebelum ini.

"Itu sebabnya kita perlu memperkasa masyarakat sivil dan NGO (badan bukan kerajaan) untuk sentiasa memberi pandangan dan kritikan membina kerana ini perkara asas dalam usaha mengukuhkan negara supaya aman, bersatu padu dan terus maju," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi perantara wacana KITA bertajuk 'Agama, PAS dan Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-14' di sini, hari ini.

Wacana menampilkan Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Mengulas pengukuhan peranan agamawan seperti ulama, Mansor yang juga pakar sosial berkata, golongan itu perlu menjelaskan prinsip terlebih dulu sebelum tergesa-gesa menjatuhkan hukuman berdasarkan tindak-tanduk seseorang.

Menurutnya, perbahasan mengenai agama terutama apabila berdepan isu dalam masyarakat banyak berkisar mengenai halal dan haram, bukan Islam, saling melabel seperti Salafi, Ahli Sunnah Wal Jamaah serta Wahabi.

"Antara kelemahan kita adalah ulama dan agamawan banyak berbahas isu semasa dan mengenai hukum-hakam dari sudut hukum saja, bukan prinsip.

"Itu adalah contoh daripada perbahasan masyarakat, macam Islam ini teruk dan celaru. Kita cuma mahu cari Islam yang boleh beri tahu apa yang kena saya buat, itu saja.

"Saya tertarik dengan cara Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang berbahas disusuli hujah prinsip bersandarkan al-Quran dan hadis.

"Sudah sampai masanya dalil naqli (al-Quran dan hadis) dan aqli (kebijaksaan) disepadukan untuk menstabil serta menyejukkan isu dihadapi masyarakat," katanya.

Berita Harian X