Khamis, 3 Mei 2018 | 6:35pm
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Dr Mazlan Ismail (dua,kiri) bersama Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPSM), Rafidah Mohd Ariffin dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (kanan sekali) hadir pada Forum Bicara BH bertajuk 'Kuasa Di Hujung Jari' di Balai Berita. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Dr Mazlan Ismail (dua,kiri) bersama Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPSM), Rafidah Mohd Ariffin dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (kanan sekali) hadir pada Forum Bicara BH bertajuk 'Kuasa Di Hujung Jari' di Balai Berita. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dalang klip 'topi biru' dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Dalang yang merakam dan menyebarkan klip ketibaan warga asing memakai topi biru serta dikaitkan dengan parti politik kini menanti masa ditahan polis.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr Mazlan Ismail, yang mengesahkan perkara itu berkata pasukan risikan mengenal pasti lokasi suspek berkenaan berada sekitar Teluk Intan, Perak.

"Sejak Parlimen dibubarkan (pada 7 April lalu), SKMM dan Polis Diraja Malaysia menubuhkan pasukan petugas khas untuk melakukan pemantauan 24 jam terhadap semua kandungan yang dimuat naik di laman sosial.

"Oleh itu, kita berupaya mengenal pasti individu yang menggunakan telefon mudah alih miliknya untuk menyebarkan klip kemasukan warga asing memakai topi biru, sehingga mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Video berkenaan diambil dari jarak jauh, namun jika diteliti, ia adalah simbol syarikat.

"Perkara ini (penyebaran klip sedemikian) ialah pembohongan yang sangat besar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan negara," katanya selepas hadir sebagai panel jemputan program Bicara BH bertajuk 'Kuasa Di Hujung Jari' di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, penyebaran berita palsu semakin menular sehingga mencetuskan ketegangan di negara ini, justeru ia dibanteras secepat mungkin menerusi peruntukan undang-undang berkaitan dan langkah penguatkuasaan.

Katanya, penelitian pasukan petugas khas SKMM-PDRM mendapati hampir setiap hari berita palsu disebarkan di media sosial bagi menjayakan agenda tertentu.

"Cuma kita minta PDRM memberi keutamaan penguatkuasaan terhadap penyebaran berita palsu yang mempunyai kaitan dengan SPR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Lazimnya, kita tidak menguar-uarkan sebarang tangkapan terhadap mana-mana individu kepada akhbar atau media, sebelum mereka dibawa untuk perbicaraan di mahkamah," katanya.

Berita Harian X