Rabu, 18 April 2018 | 3:57pm
Mohamad Mohamad Zain ketika taklimat media program pembangunan vendor bumiputra pencapaian agenda pemeriksaan bumiputra dan jaguh nasional di TM Convention Centre, Menara TM. STR/OWEE AH CHUN.
Mohamad Mohamad Zain ketika taklimat media program pembangunan vendor bumiputra pencapaian agenda pemeriksaan bumiputra dan jaguh nasional di TM Convention Centre, Menara TM. STR/OWEE AH CHUN.

Dua vendor dinobat Jaguh Nasional TM 2017

KUALA LUMPUR: Dua syarikat bawah Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP), Telekom Malaysia Berhad (TM), diumumkan sebagai Jaguh Nasional TM 2017, semalam.

Syarikat terbabit ialah Binaan Desjaya Sdn Bhd (BDSB) yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam sektor pembuatan berasaskan konkrit, dan Lite Kabel Sdn Bhd (LITE) daripada sektor pembuatan kabel gentian optik.

Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan TM, Mohamad Mohamad Zain, berkata kedua-dua syarikat itu meraih jualan tahunan berjumlah lebih RM10 juta, malah mencatat pertumbuhan keuntungan melebihi tiga peratus setahun pada tahun lalu.

"Mereka memiliki pengurusan kewangan yang baik, pelaksanaan penambahbaikan program berterusan, kajian dan pembangunan, berinovasi serta kreatif ke arah mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai BVDP, Pencapaian Agenda Pemerkasaan Bumiputera dan Jaguh Nasional TM 2017 di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar BDSB, Awi Shahadan, berkata syarikat berkenaan cukup dikenali dalam sektor pembuatan berasaskan konkrit atas kejayaan mencatat jualan tahunan berjumlah RM20 juta.

"BDSB dilantik sebagai kontraktor TM sejak 1994 bagi membekalkan 'prefab manhole' bawah Program Pembangunan Usahawan.

"Kami dilantik sebagai pembekal 'manhole' menerusi BVDP pertama, Februari 2005, dan membekalkan 'pole' secara rasmi pada November tahun sama.

"BDSB juga dilantik sebagai Rakan Strategik TM pada 2013 selepas TM berpuas hati dengan komitmen kami menghasilkan produk berkualiti tinggi," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Beliau berkata, BDSB turut menjadi pusat latihan bertauliah (PLB) yang mengendalikan latihan pemasangan komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk individu dan syarikat.

Katanya, PLB itu dilengkapi peralatan diperlukan, termasuk jentera berat seperti kren dan fasiliti keselamatan, dengan menerima kira-kira 1,000 pelajar sejak dibuka pada 2015.

"Kebanyakan pelajar kami sudah ada asas dalam bidang pembinaan, namun mereka amat berminat mengikuti kursus selama empat hingga lima hari bagi meningkatkan ilmu.

"Dengan ilmu berkenaan, mereka berpeluang meluaskan pengalaman kerjaya dan tidak hanya tertumpu pada satu-satu bidang. Perolehan negara yang semakin dipacu sektor pembinaan membolehkan mereka meningkatkan ekonomi sara diri dalam bidang itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan LITE, Roslan Loong, berkata syarikat berkenaan dilantik sebagai Rakan Strategik TM sejak 2014.

"Kebanyakan bahan mentah gentian optik diimport dari Jepun dan Amerika Syarikat, namun kami berusaha untuk beroperasi dengan lebih cekap serta kompetitif," katanya.

LITE berjaya mencatat untung bersih RM3.2 juta tahun lalu, manakala jualan tahun ini sudah mencapai RM20 juta setakat ini.

Syarikat itu turut menerima 'type approval certificate' apabila kesemua 36 jenis kabel gentian optik dihasilkan mendapat pengiktirafan TM, selain dianugerahkan kontrak bernilai lebih RM450 juta.

Berita Harian X