Jumaat, 6 April 2018 | 5:32pm
PEMENANG hadiah utama Peraduan MyDebit Menang Hadiah; Belanja Tanpa Tunai Kumpulan The Store, Arfanani Abdul Rani (tiga kanan) bergambar bersama kereta Subaru Forester 2.0i yang dimenanginya pada majlis penyampaian hadiah di Taiping Mall. Turut sama Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek. (kanan) dan Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor (dua kanan). - Foto L Manimaran
PEMENANG hadiah utama Peraduan MyDebit Menang Hadiah; Belanja Tanpa Tunai Kumpulan The Store, Arfanani Abdul Rani (tiga kanan) bergambar bersama kereta Subaru Forester 2.0i yang dimenanginya pada majlis penyampaian hadiah di Taiping Mall. Turut sama Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek. (kanan) dan Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor (dua kanan). - Foto L Manimaran

Beli mainan dapat Subaru Forester

TAIPING: Pelanggan setia Kumpulan The Store terus dihargai dengan pelbagai hadiah menarik melalui beberapa peraduan seperti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik termasuk kereta dan barangan elektrik.

Terbaru, Kumpulan The Store mengumumkan 32 pemenang membabitkan dua peraduan cabutan bertuah dengan pemenang membawa pulang kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester dan Perodua Alza, Bezza serta Axia.

Bagi peraduan 'MyDebit Menang Hadiah; Belanja Tanpa Tunai', pemenang bertuah adalah Arfanani Abdul Rani, 38, yang membawa pulang Subaru Forester 2.0i bernilai kira-kira RM120,000.

Tiga lagi pemenang adalah Mohd Sobri Jusuh (TV LED 40 inci), Mohd Zurizuan Ali (peti sejuk) dan Zulkifli Mahmud (mesin basuh) selain 25 pemenang hadiah istimewa yang mendapat baucar tunai RM200 setiap seorang.

Hadiah bagi peraduan yang diadakan secara kolaborasi bersama Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu disampaikan Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor, di Pacific Taiping Mall di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan MyDebit, Bahagian Perkhidmatan Kad, Azrul Fakhzan Mainor; Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek; Pengurus Besar kumpulan (Bahagian Sofline dan Jenama), Lim Kok Soon; Pengurus Besar kumpulan (Bahagian Pasar Raya), Mark Loo Soon Hock dan Penolong Pengurus Besar Bahagian Wilayah Utara kumpulan, Yap Choon Meng.

Adibah Noor turut membuat cabutan tiga pemenang bagi peraduan 'Riang Ria Perayaan Ganjaran Berganda' dan pemenang akan dimaklumkan sendiri melalui panggilan telefon oleh selebriti terbabit.

Peraduan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM500,000 itu dimenangi Tha Hui Ling yang bertuah mendapat Alza 1.5s sebagai hadiah utama dan Rima Melati Md Noor (Bezza 1.0AT) serta Mohan Kaur Harchand Singh (Axia 1.0AT).

Kumpulan The Store turut melancarkan peraduan fotogenik 'Bayi Comel 2018' yang bermula hari ini hingga 31 Mei ini.

Melalui peraduan itu, ibu bapa boleh menyerlahkan kecomelan anak dan berpeluang memenangi hadiah bernilai RM50,000 dengan pembelian RM30 ke atas produk bayi terpilih dalam satu resit di pasar raya The Store, Pacific atau Milimewa.

Sementara itu, Arfanani yang menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pusat Darah Negara, bersyukur atas kemenangan itu.

"Saya tidak sedar menyertai peraduan ini kerana sering berbelanja di The Store menggunakan MyDebit.

"Saya menang dengan berbelanja RM31.46 sahaja untuk membeli mainan anak pada hujung tahun lalu," katanya.

Berita Harian X