Selasa, 3 April 2018 | 1:50pm
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tiga dari kiri) dan Pengerusi ASLI, Tan Sri Jeffrey Cheah (dua dari kiri) melancarkan buku Framing Malaysia Higher Education 4.0 di Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-22 di Lagoon 1 Sunway Resort Hotel. - Foto Eizairi Shamsudin
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tiga dari kiri) dan Pengerusi ASLI, Tan Sri Jeffrey Cheah (dua dari kiri) melancarkan buku Framing Malaysia Higher Education 4.0 di Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-22 di Lagoon 1 Sunway Resort Hotel. - Foto Eizairi Shamsudin

KPT lancar buku panduan hadapi cabaran Industri 4.0

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan buku 'Framing Higher Education 4.0: Future-Proof Talents', hari ini, sebagai panduan menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ia mengandungi kaedah dan tanda aras dalam menyediakan sistem pendidikan tinggi yang selaras keperluan Industri 4.0.

Justeru, katanya, buku dilancarkan sempena Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Ke-22 itu menjadi panduan kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta graduan.

"Industri 4.0 menekankan kegunaan teknologi kompleks dalam kehidupan harian. Oleh itu, amat penting untuk memastikan negara bersedia melahirkan graduan memiliki pemikiran kritis dan mampu mengadaptasi perubahan ini.

"Antara pendekatan baharu ialah mengubah cara dan ruang pembelajaran, penilaian tanpa peperiksaan dan pelbagai kaedah lain bersesuaian," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku itu di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, dan Ketua Pegawai Eksekutif institut itu, Tan Sri Dr Michael Yeoh.

Secara keseluruhan, buku itu mengandungi empat fokus membabitkan 15 pendekatan dengan inisiatif holistik, dan tiga atribut serta sembilan set kemahiran 'future-proof', sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Versi digital buku itu boleh dimuat turun menerusi aplikasi mudah alih MyHE4.0 dalam Google Play dan App Store.

Sementara itu pada satu lagi majlis berasingan di sini, Idris menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Universiti Cambridge.

MoU itu bertujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar IPT, politeknik serta kolej komuniti melalui integrasi pembelajaran dan pentaksiran formal serta tidak formal, bagi melahirkan graduan dengan tahap penguasaan minimum B2 Common European Framework of Reference (CEFR).

Berita Harian X