Selasa, 3 April 2018 | 10:33am
Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan LTSIP bernilai RM483 juta di Pengkalan Chepa adalah antara beberapa projek berimpak tinggi yang dilaksana di bawah RMKe-11. - Foto Nallis Azalia Mohd Azalan
Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan LTSIP bernilai RM483 juta di Pengkalan Chepa adalah antara beberapa projek berimpak tinggi yang dilaksana di bawah RMKe-11. - Foto Nallis Azalia Mohd Azalan

Kelantan membangun menerusi LTSIP baharu

JANJI DITEPATI

KOTA BHARU: Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini, dijangka membawa masuk lebih banyak peluang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Projek itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi pembentangan Bajet 2018, akan bermula pada Julai depan dan dirancang selama tiga tahun membabitkan kos RM483 juta.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Yahaya Mamat, berkata projek berkenaan adalah antara beberapa projek impak tinggi Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Katanya, Kerajaan Persekutuan mahu melihat Kelantan membangun seperti negeri lain dan berharap projek berkenaan akan memberi impak yang besar kepada negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Tarik lebih ramai pelabur

"Menerusi projek ini, LTSIP akan bertukar wajah daripada lapangan terbang biasa kepada lapangan terbang antarabangsa, malah kita menjangkakan menarik lebih ramai pelabur ke Kelantan.

"Projek ini juga dapat mengurangkan kesesakan di laluan 'curbside' pada waktu puncak dengan pemisahan trafik melalui penyediaan tingkat berasingan untuk pelepasan dan ketibaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Skop naik taraf, termasuk pembinaan bangunan terminal baharu untuk mencapai kapasiti penumpang lebih ramai, selain pemasangan sistem pengendalian bagasi, tujuh unit jambatan udara dan lapan unit sistem panduan visual.

Pembesaran lapangan terbang turut mengambil kira tambahan parkir baharu bagi pesawat Kod 4C (Boeing 737/Airbus 320 dan pesawat ATR-72), meroboh dan membina semula balai penyelamat di lokasi baharu, pembinaan parkir kereta bertingkat dan ruang menunggu VVIP/VIP.

Laluan teksi juga ditambah baik, sesuai dengan tambahan jumlah penumpang melebihi kapasiti 2.06 juta orang setahun.

Yahaya berkata, berdasarkan reka bentuk asal, kapasiti penumpang hanya 1.5 juta orang, namun pada tahun 2015, jumlah penumpang meningkat kepada 2.06 juta orang, sekali gus menyebabkan kesesakan.

"Oleh itu, kerajaan berharap dengan adanya projek berimpak tinggi ini, ia dapat membantu menyelesaikan semua masalah terbabit," katanya.

LTSIP menjalani kerja naik taraf pertama pada 2010 membabitkan kos RM45.5 juta.

Sementara itu, orang ramai menyifatkan projek naik taraf LTSIP sebagai titik permulaan untuk negeri itu menerima banyak perubahan, sekali gus membawa limpahan manfaat kepada rakyat.

Kakitangan awam, Nur Izhar Salimi Mohd Makhtar, 27, berkata apabila pembesaran LTSIP siap, Kelantan akan menerima lebih ramai pelancong asing yang akan merancakkan lagi ekonomi negeri.

Terus berkembang

"Projek ini mampu menarik kemasukan pelabur asing yang akan menyumbang kepada pembangunan, sekali gus tidak mustahil Kelantan akan menjadi bandar raya maju seperti Kuala Lumpur dalam 10 tahun akan datang," katanya.

Peniaga, Mohd Amin Moqshid Azmi, 27, berkata projek seumpama itu membolehkan Kelantan menjadi negeri berkembang maju seperti negeri lain dan tidak lagi sepi daripada pembangunan.

Katanya, projek itu juga dapat memudahkannya ke luar negara, terutama China untuk urusan perniagaan, tanpa perlu transit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Projek ini banyak manfaat kepada peniaga atas talian seperti saya untuk dapatkan barang jualan dari luar negara," katanya.

Laksana 58 projek berimpak tinggi di bawah RMKe-11

Kota Bharu: Sebanyak 58 projek berimpak tinggi bernilai RM9.21 bilion dilaksanakan di Kelantan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Dua daripada projek itu, masing-masing dua projek siap sepenuhnya dan hampir siap, 24 projek sedang dilaksanakan, manakala 30 lagi bakal bermula.

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Kelantan bernilai RM40 juta sebagai kaedah alternatif dalam memastikan kesediaan bekalan elektrik mencukupi kepada penduduk, siap sepenuhnya, Januari lalu.

Projek pembinaan rumah angkatan tentera di Kem Desa Pahlawan, yang berharga RM97.52 juta pula siap dan boleh diduduki pada Oktober tahun lalu.

Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (Pakej 1b Pasir Hor-Kadok), yang membabitkan RM310.5 juta mencapai 98 peratus, manakala Hospital Kuala Krai bernilai RM304.7 juta hampir siap dan akan dirasmikan, tidak lama lagi.

364 projek bernilai RM14.83 bilion

Antara projek yang akan dan sedang dibina pula ialah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra membabitkan kos RM483 juta; Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan Pakej 2b Ketereh ke Kok Lanas (RM229.79 juta); Leburaya Kota Bharu-Kuala Krai Pakej 2A Kadok-Ketereh (RM189.28 juta); serta Projek Central Spine Road (CSR) atau Jalan Lingkaran Tengah Pakej 3 Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (RM253.5 juta).

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Yahaya Mamat, berkata semua projek itu adalah antara 364 projek bernilai RM14.83 bilion yang dilaksana di Kelantan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga akan membina jejambat dari Kota Bharu ke Bulatan Wakaf Bharu bernilai RM144.49 juta, yang bakal mengatasi kesesakan di kawasan berkenaan.

Salur pelbagai bantuan, peruntukan

"Kementerian Kewangan juga menyediakan peruntukan geran tahunan kepada Kelantan bernilai RM350 juta sehingga Oktober tahun lalu," katanya.

Berikutan banjir besar pada 2014, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM71.45 juta bagi membina 1,299 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir yang hilang kediaman, selain membaik pulih 5,003 rumah dengan kos keseluruhan RM14.3 juta.

Kerajaan Persekutuan juga menyalurkan peruntukan RM90.13 juta, membabitkan 701 projek dari 2014 hingga 2017, untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam penyelenggaraan dan menaik taraf kawasan pentadbiran.

"Ini supaya rakyat boleh menikmati taraf sosio ekonomi yang selesa," katanya.

Peruntukan berjumlah RM78.02 juta dibelanjakan sejak 2005 bagi pembinaan 25 masjid, termasuk masjid terbesar di Malaysia, iaitu Masjid Tengku Razaleigh, Gua Musang, bernilai RM35.3 juta yang dijangka siap, tahun depan.

Berita Harian X