Ahad, 25 March 2018 | 6:18pm
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof (tengah) ketika sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof (tengah) ketika sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Kes kapal korek, keluarga reda terima sebarang kemungkinan

MUAR: "Kami masih menunggu di sini dan berharap adik saya ditemui. Kami reda, jika dia masih bernyawa moga dia dapat diselamatkan (oleh pasukan penyelamat)," kata Azral Azizan.

Azral, 37, yang juga abang sulung kepada seorang daripada kru kapal JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parti Jawa di sini, pagi Rabu lalu iaitu Mohd Akashah, 25, berkata jika sudah tidak ada harapan lagi, keluarganya berharap pasukan penyelamat dapat menemui jenazah adiknya.

Beliau berkata, gerak hatinya kuat menyatakan adiknya berada di kawasan kejadian iaitu di sekitar kawasan kapal korek yang terbalik itu dan berharap pasukan penyelamat akan menemuinya kelak.

"Saya rasa dia (Mohd Akashah) masih berada di kawasan kejadian, cuma masih tak jumpa sebab operasi ini sangat sukar.

"Namun, kami tetap berharap, malah ibu sudah tahu (perkembangan semasa) tetapi dia tak sanggup duduk di tempat operasi atau bilik gerakan ini," katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pantai Leka, Parit Jawa di sini, hari ini.

Azral Azizan abang kepada Mohd Akashah, seorang daripada kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar ketika ditemui di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa. - Foto Badrul Kamal Zakaria
Azral Azizan abang kepada Mohd Akashah, seorang daripada kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar ketika ditemui di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Ditanya sama ada pihak keluarganya turut mencari ikhtiar lain, Azral berkata, pihaknya ada berusaha ke arah itu tetapi akur dengan sebarang keputusan kelak.

"Mengikut logik akal, sudah lebih 100 jam dengan keadaan kapal tanpa oksigen. Jadi, harapan untuk diselamatkan memang tipis tetapi jika dia masih hidup, ia satu keajaiban," katanya.

Kapal korek JBB Rong Chang 8 terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa dengan tiga mangsa berjaya diselamatkan, manakala seorang kru kapal terbabit disahkan meninggal dunia pada hari pertama operasi SAR dilaksanakan.

Dua lagi kru kapal terbabit berjaya diselamatkan pada hari ketiga operasi SAR apabila pasukan penyelam berjaya menemui dua mangsa terperangkap dalam bilik enjin kapal, sementara seorang lagi mangsa ditemui di bahagian luar tidak jauh daripada kapal terbalik itu.

Sehingga kini, sembilan kru kapal terbabit iaitu lima berjaya diselamatkan, manakala empat lagi ditemui meninggal dunia. Semua mangsa terselamat dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Pasukan SAR juga sudah menghentikan operasi menyelam hari ini selepas membuat pemeriksaan menyeluruh dan berulang kali di dalam kapal terbabit, namun masih tidak berjaya menemui mangsa terbaru.

Berita Harian X