Ahad, 4 March 2018 | 4:38pm
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika hadir pada perjumpaan dengan kepemimpinan MCA Bahagian Alor Setar di Jalan Pegawai, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika hadir pada perjumpaan dengan kepemimpinan MCA Bahagian Alor Setar di Jalan Pegawai, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA

Jambatan udara dalam projek naik taraf LTAL

ALOR SETAR: Pembinaan jambatan udara (aerobridge) akan dilaksanakan selepas fasa pertama projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) siap sepenuhnya Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau sudah menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membina jambatan udara dalam fasa dua bagi memperkasakan LTAL sekali gus menambah jumlah penerbangan terus ke Langkawi bagi meningkatkan jumlah pelancong.

Beliau berkata, fasa pertama membabitkan kos keseluruhan RM89 juta dengan tempoh 10 bulan projek, membabitkan kerja pembesaran parkir, balai ketibaan, tandas, terminal komersial, surau dan laluan kenderaan ke terminal utama.

"Fasa kedua pula akan dimasukkan jambatan kedua kerana apa yang diminta Perdana Menteri sedang diteliti malah, kita sudah meminta pihak perunding bagi meneliti dan membuat rekaan dan rancangan sebelum dapat menilai kos pelaksanaannya.

"Pelaksanaan fasa dua akan terus berjalan seperti yang dirancang selepas siapnya fasa pertama kerana ia tidak mengganggu jadual penerbangan dan aktiviti di LTAL.

"Saya akan pastikan ia berjalan lancar kerana apa yang dimahukan kerajaan sudah pastinya mampu meningkatkan jumlah pelancong antarabangsa kerana ketiadaan jambatan udara pastinya menyebabkan syarikat penerbangan beralih ke lapangan terbang yang menyediakan perkhidmatan terbabit," katanya selepas perjumpaan dengan kepemimpinan MCA Bahagian Alor Setar di Jalan Pegawai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri pada hari terakhir Ekspo Muafakat Kedah, di Stadium Darul Aman di sini, semalam, yang mahu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, beliau mahu LTAL dijadikan pintu masuk negara dengan adanya penerbangan terus apabila jambatan udara dibina bagi membolehkan pesawat besar mendarat.

Mengulas lanjut mengenai cadangan menaik taraf LTSAH, di sini, sebagai lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang, Tiong Lai berkata, pihaknya sudah mengarahkan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) mengoptimumkan penggunaan LTSAH bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri.

"Pelaksanaannnya boleh dilakukan segera kerana LTSAH adalah lapangan terbang yang serba lengkap, maka kita perlu mencari jalan mengoptimumkan keupayaannya dengan menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa secara terus.

"Lebih banyak kerjasama akan dilakukan dengan negara lain dan menyusun penjadualan penerbangan selain menghubung penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Berita Harian X