Selasa, 13 Februari 2018 | 10:39am
SEORANG daripada lelaki warga Myanmar ditangkap Jabatan Imigresen Kedah selepas terjatuh dalam sungai ketika cuba melarikan diri sejauh 300 meter dalam Ops Mega di Kodiang, semalam. - Foto ihsan JIM Kedah

DUA lelaki warga Myanmar yang bertindak melarikan diri sejauh 300 meter berjaya ditangkap Jabatan Imigresen Kedah yang membuat serbuan di rumah sewa mereka di Kodiang dalam Ops Mega, semalam. - Foto ihsanJIM Kedah

SEBAHAGIAN daripada 26 warga asing pelbagai warganegara yang ditahan Jabatan Imigresen Kedah di rumah sewa di Kodiang dalam Ops Mega, semalam. - Foto ihsan JIM Kedah
SEBAHAGIAN daripada 26 warga asing pelbagai warganegara yang ditahan Jabatan Imigresen Kedah di rumah sewa di Kodiang dalam Ops Mega, semalam. - Foto ihsan JIM Kedah

PATI larikan diri jatuh sungai

ALOR SETAR: Padah cuba melarikan diri daripada anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, dua lelaki warga Myanmar terjatuh ke dalam sungai ketika Op Mega di Padang Sera, Kodiang, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu dikesan melarikan diri melalui pintu belakang rumah sewa sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di situ.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaluddin, berkata mereka antara 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap pihaknya selepas dikejar sejauh 300 meter, manakala seorang lagi yang turut melarikan diri lolos dalam kebun getah berhampiran.

Dalam operasi 12 jam berakhir jam 4 pagi semalam itu, katanya, seramai 15 anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan membabitkan 125 warga asing pelbagai warganegara di sekitar Tunjang serta Kodiang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tiga rumah sewa dan tiga kedai makan ala Thai, pihaknya mengesan 26 warga asing berkenaan meliputi tiga kanak-kanak, berusia antara dua hingga 40 tahun, melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka ditahan terdiri daripada tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak, dan 11 wanita meliputi seorang kanak-kanak warga Thailand, di tiga kedai makan berasingan.

"Selain itu, 11 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan hasil pemeriksaan di rumah sewa mereka.

"Pemeriksaan awal mendapati 13 daripadanya melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, 10 lagi melanggar syarat pas diberikan dan selebihnya melindungi warga asing yang membuat kesalahan imigresen," katanya.

Zuhair berkata, semua PATI berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X