PADANG TERAP: Masalah air tandak keruh dan berkelodak yang menjejaskan bekalan penduduk Kampung Paya Terap, di sini, berakhir selepas kegiatan pembalakan di puncak Hutan Simpan Bukit Perangin di sini, yang menjadi punca pencemaran dihentikan.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jefrisham Nayan, sekali gus memberikan kelegaan kepada lebih 200 penduduk yang sememangnya bergantung kepada bekalan air tandak berkenaan untuk kegunaan harian sejak kira-kira 30 tahun lalu.
"Bekalan air tandak itu digunakan untuk mandi dan membasuh pakaian sahaja, manakala untuk memasak dan minum mereka gunakan air dibekalkan SADA (Syarikat Air Darulaman Sdn Bhd). Bekalan itu penting sebagai tambahan kepada air bersih yang dihantar setiap dua hari oleh SADA sejak beberapa tahun lalu.
"Ada kira-kira 30 rumah yang masih menggunakan bekalan air tandak berikutan bekalan air paip bersih bertekanan rendah, namun apabila aktiviti pembalakan bermula pada Julai tahun lalu, air mula menjadi keruh terutama pada musim hujan.
"Kini penduduk bersyukur kerana aktiviti pembalakan itu dihentikan dan semuanya kembali seperti biasa," katanya.
Isu berkaitan bekalan air tandak tercemar itu didedahkan melalui beberapa siri laporan khas BH sebelum ini, termasuk mengenai kegiatan pembalakan tidak terkawal yang didakwa penduduk menjadi punca pencemaran kepada takungan tandak itu yang dibina sendiri penduduk.
Pencemaran dipercayai berlaku kerana hutan terbabit menjadi kawasan tadahan sumber air kepada kolam tandakan yang dibina penduduk kampung secara gotong-royong pada 1980-an, yang kemudiannya disalurkan ke rumah penduduk menerusi paip bawah tanah.
Jefrisham pada masa sama turut berkongsi khabar gembira apabila pendedahan BH itu yang disusuli aduan penduduk mendapat perhatian banyak pihak.
"Saya difahamkan SADA akan membina sebuah tangki bagi menyalurkan air secara terus kepada penduduk yang masih menggunakan bekalan air tandak, sekali gus menyelesaikan isu gangguan bekalan air di kampung itu," katanya.
Penduduk yang ditemui, Mohd Sobri Ramli, 27, mengakui keluarganya kini kembali menggunakan bekalan air tandak tanpa ragu-ragu, selepas kualiti air yang disalurkan ke kediamannya kembali baik.
"Bekalan air kami sudah pulih sebaik saja aktiviti pembalakan dihentikan, cuma pada musim hujan bekalan air menjadi keruh...perkara ini sudah tidak dapat dielakkan kerana ia kesan daripada aktiviti pembalakan, namun ia tidak sekerap sewaktu aktiviti pembalakan itu rancak berlaku.
"Kualiti air tandak tidak lagi seteruk dulu dan kami masih boleh guna untuk mandi dan basuh pakaian...anak saya yang berusia dua tahun dan enam bulan juga mandi air ini.
"Kalau dulu badan terasa gatal jika mandi dengan air keruh, tetapi sekarang kami tidak terkesan lagi dan jika mahu mengadakan majlis kenduri atau kesyukuran, kami akan maklumkan kepada SADA lebih awal dan syarikat itu akan menghantar bekalan air secukupnya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan aktiviti pembalakan di negeri ini terkawal di samping memantau kualiti air menerusi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.
"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) diarahkan memantau semua aktiviti pembalakan supaya pembalak tidak melanggar syarat lesen seperti membalak berhampiran kawasan alur air, sehingga menjejaskan sungai dan bekalan air bukit.
"Kita tak mahu lama-kelamaan air kita akan jadi masalah terutama pada musim hujan sehingga menyebabkan penduduk yang masih menggunakan bekalan air bukit terjejas....untuk Kampung Paya Terap, kami kira ia selesai selepas aktiviti pembalakan di situ dihentikan," katanya.