Ahad, 28 Januari 2018 | 9:00am

Kelas al-Quran dalam bas lama dapat sambutan

REMBAU: Pernah dianggap idea gila, usaha sekumpulan anak muda membuka kelas pengajian al-Quran di dalam bas lama setahun lalu, berjaya mengubah persepsi masyarakat, malah menerima sokongan ramai.

Bertempat di Taman Seri Rembau di sini, kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Rembau Awesome' itu mula mengusahakan projek itu awal tahun lalu, dengan sebuah bas terpakai yang dibeli dengan harga RM5,000.

Ketika mula beroperasi pada Mac tahun lalu, banyak pihak kurang yakin kelas pengajian berkenaan mampu berjalan lancar dan bertahan lama, namun selepas beberapa bulan, kumpulan anak muda itu membuktikan projek terbabit mampu berkembang dengan penambahan tiga lagi bas menjelang Oktober tahun lalu.

Wakil ahli kumpulan berkenaan, Muhammad Allif Ibrahim, 26, berkata sehingga kini ada seramai 90 pelajar berusia seawal tiga tahun sehingga 17 tahun mengikuti dua sesi pengajian iaitu pada jam 5 hingga 6.30 petang dan 8 hingga 9 malam.

"Sambutan diterima daripada masyarakat setempat amat menggalakkan, malah selain kanak-kanak dan remaja, 22 orang dewasa berusia 21 hingga 64 tahun turut mengikuti kelas al-Quran di sini.

"Sebahagian pelajar terbabit belajar secara percuma kerana mereka terdiri daripada keluarga asnaf termasuk anak yatim, mualaf dan miskin," katanya kepada BH.

KELAS pengajian al-Quran di dalam bas lama di Taman Seri Rembau. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KELAS pengajian al-Quran di dalam bas lama di Taman Seri Rembau. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Januari tahun lalu, BH melaporkan kekangan ruang bangunan bagi mengadakan kelas al-Quran mendorong kumpulan Rembau Awesome mengambil pendekatan kreatif dengan mengubah suai bas lama yang dibeli dengan harga RM5,000 menjadi pusat pengajian.

Dengan menumpukan usaha mengajar kanak-kanak dan remaja keluarga asnaf secara percuma, kumpulan 13 lelaki berusia 20-an yang tinggal di sekitar Taman Seri Rembau Fasa 1 di sini, bertekad membawa pembaharuan.

Bas terbabit dilengkapkan dengan pendingin hawa, meja, kerusi, kitab dan pelbagai bahan ilmiah yang lain, menjadikannya selesa seperti kelas di dalam bangunan.

Allif yang juga bekas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), berterima kasih kepada BH yang menjadi akhbar pertama membuat pendedahan mengenai projek berkenaan, sebelum menarik perhatian media arus perdana lain dan media sosial.

KEKANGAN ruang bangunan bagi mengadakan kelas al-Quran mendorong kumpulan Rembau Awesome mengubah suai bas lama menjadi pusat pengajian.
KEKANGAN ruang bangunan bagi mengadakan kelas al-Quran mendorong kumpulan Rembau Awesome mengubah suai bas lama menjadi pusat pengajian.

Katanya, publisiti yang diterima membolehkan pihaknya mendapat keyakinan serta sokongan orang ramai yang turut memberi sumbangan yang menjadi sumber kewangan utama bagi menampung kos operasi pusat berkenaan.

"Sejak kewujudan pusat ini diketahui umum, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk menjadi sukarelawan untuk mengajar mengaji, membina kabin serta menaja landskap dan beberapa kemudahan lain," katanya.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan masyarakat setempat menyebabkan mereka menambah sebuah lagi bas pada Jun lalu yang dibeli dengan harga RM5,000, sebelum menerima dua lagi bas terpakai hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain mengajar mengaji, mereka juga membuka kelas tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta bengkel kemahiran membaiki motosikal kepada belia dalam usaha menambah pendapatan.

Info

  • Rembau Awesome - gelaran 13 penggerak Taman al-Quran yang terdiri daripada pelbagai latar belakang
  • Ahli kumpulan mahu dikenali Alip Retro, Zul Takok, Paan Zaki, Aiman Zaki, Ajik, Ayie, Hafiz, Shidi Rock, Shidi Satria, Shafiq Fadil, Cikgu Zamri, Hafiz Viva
  • Muhammad Allif menggunakan akaun Facebook dengan nama Allip Ibrahim, yang menunjukkan perkembangan projek mereka.

Fakta nombor

  • 0.4 hektar keluasan tapak Taman al-Quran
  • 4 bas ketika ini
  • 6 bas sasaran
  • 8602 3453 09 - Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Pusat Pengajian Taman al-Quran AZ
  • 25 sehingga 30 orang boleh belajar di dalam sebuah bas pada satu-satu masa
KELAS pengajian al-Quran di dalam bas lama yang bertempat di di Taman Seri Rembau. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KELAS pengajian al-Quran di dalam bas lama yang bertempat di di Taman Seri Rembau. - Foto Iqmal Haqim Rosman
HIASAN dalaman bas yang dijadikan kelas pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau. - Foto Iqmal Haqim Rosman
HIASAN dalaman bas yang dijadikan kelas pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X