Khamis, 25 Januari 2018 | 4:55pm
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

RM25 juta disalur kepada pusat pembelajaran STEM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM25 juta untuk disalurkan kepada pembangunan pusat pembelajaran sains, kejuruteraan dan matematik (STEM), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata, ia selari dengan usaha pihaknya mengkaji dan membangunkan program teknologi masa depan termasuk penggunaan robotik dan nano teknologi.

Ketika ini, katanya, kementeriannya mengumpul satu kumpulan tenaga pekerja dan pakar berkaitan serta menyediakan mereka peluang pekerjaan dalam bidang teknologi untuk memastikan semua usaha terbabit dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Dengan STEM dijadikan sebagai keutamaan dalam pelan pendidikan Malaysia, pelan pelaksanaan STEM sedang dimuktamadkan oleh kerajaan bagi memastikan Malaysia bergerak seiring dengan perubahan teknologi semasa.

"Kita mahu pastikan negara ini tidak ditinggalkan ke belakang (daripada segi teknologi). Kita juga perlu sedar visi untuk status negara membangun diperkuatkan oleh kaedah inovasi.

"Keperluan kumpulan individu dengan kemahiran dan keupayaan berkaitan adalah penting untuk menyokong dan melaksanakan apa yang dirancang kementerian. Sebab itu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menekankan mengenai pelaksanaan program STEM demi masa depan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Perspektif Strategik Malaysia ke-20 'Hadapi Disrupsi: Masa Depan Malaysia' anjuran Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ASLI , Tan Sri Dr Michael Yeoh.

Sementara itu, Madius berkata, Akademi Sains Malaysia (ASM) sedang mengenal pasti kaedah untuk meletakkan Malaysia di 'barisan hadapan' menerusi pelaksanaan inisiatif program sains, teknologi dan inovasi (STI) secara menyeluruh.

"Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) meletakkan STI sebagai antara pelannya dan kementerian berbangga untuk menerajui dua program di bawah TN50 untuk memastikan Malaysia kekal relevan dengan perubahan masa kini.

"ASM menjalankan kajian mengikut bayangan bagaimana Malaysia boleh bergerak ke hadapan dengan perubahan sains teknologi, masyarakat dan budaya serta keadaan ekonomi, kewangan dan tadbir urus negara," katanya.

Berita Harian X