Rabu, 24 Januari 2018 | 12:02pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali.- Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali.- Foto Asyraf Hamzah

Azmin gagal cabar keputusan laporan 1MDB rahsia rasmi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagi mencabar keputusan Ketua Audit Negara mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Mohamed Azmin tidak mempunyai merit.

Kamaludin dalam penghakimannya berkata, Mohamed Azmin selaku plaintif tidak mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang (locus standi) untuk mencabar keputusan Ketua Audit Negara.

Beliau juga memberikan keputusan sama terhadap permohonan sama dikemukakan seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Zahid Md Arip.

Mohamed Azmin dan Muhammad Zahid selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu secara berasingan dengan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Permohonan itu membabitkan isu mengikut Peruntukan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk mencabar pengelasan laporan itu sebagai sulit bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dalam permohonan itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama, iaitu Perdana Menteri mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua (Ambrin) adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan/atau Akta Audit 1957.

Mohamed Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Zahid yang memfailkan permohonan terhadap responden sama berhubung isu serupa membabitkan Laporan Ketua Audit Negara, memohon perintah membatalkan keputusan responden untuk tidak mengubah status laporan itu walaupun selepas Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2016.

Beliau turut menuntut perintah membatalkan keputusan responden yang menyerahkan kepada PAC bagi membuat keputusan sama ada untuk mengubah status laporan itu dan membentangkan kepada Dewan Rakyat.

Sementara itu, selesai prosiding, Mohamed Azmin yang diwakili peguam Tommy Thomas menyatakan beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Berita Harian X